Nottingham: England mengalami kekalahan 1-3 dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri kepada Senegal, awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurus, Thomas Tuchel, setahun sebelum beraksi di Piala Dunia.
Gol daripada Ismaila Sarr, Habib Diarra dan Cheikh Sabaly menyebabkan England tewas buat kali pertama kepada pasukan dari benua Afrika di Stadium City Ground milik Nottingham Forest, selepas Harry Kane meletakkan tuan rumah di depan.
Tuchel sebelum ini lantang mengkritik prestasi hambar pasukannya yang hanya menang 1-0 menentang pasukan kerdil, Andorra dalam kelayakan Piala Dunia, Ahad lalu.
Pengurus dari Jerman itu, yang dilantik untuk menamatkan penantian England sejak tahun 1966 bagi memenangi kejohanan utama, mengalami kekalahan pertama dalam empat perlawanan di bawah kendaliannya.
“Kita perlu melihat bagaimana barisan pemain bertindak balas dalam situasi seperti ini menentang salah satu daripada 20 pasukan terbaik dunia untuk menjadi lebih bijak.
“Kita bukan ke Piala Dunia minggu depan. Kita ke sana dalam masa setahun,” kata Tuchel.
Tuchel membuat 10 pertukaran pemain dengan Kane satu-satunya pemain utama yang beraksi.
Ia hanya mengambil masa tujuh minit untuk penyerang Bayern Munich itu meneruskan rekod menjaringkan gol dalam setiap perlawanan sejak Tuchel membimbing England.
Bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy, sepatutnya dapat menyelamatkan percubaan Anthony Gordon, tetapi hanya menepis bola ke arah Kane yang menyudahkannya untuk gol antarabangsa ke-73.
Dean Henderson diberi peluang untuk mengawal gawang England dengan Jordan Pickford diletakkan di bangku simpanan.
Penjaga gol Crystal Palace itu membuat beberapa aksi menyelamat hebat daripada cubaan rakan sepasukan di kelabnya iaitu Sarr serta Idrissa Gana Gueye.
Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila Sarr mengambil kesempatan daripada kelekaan Kyle Walker untuk menyambut hantaran Nicolas Jackson dan meledak ke penjuru bawah gawang.
England tidak pernah tewas kepada pasukan Afrika dalam 21 perlawanan sebelum ini, tetapi Senegal hanya tewas sekali sejak kekalahan kepada Three Lions di Piala Dunia 2022.
“Kami tidak cukup bagus. Kami ada beberapa momen yang baik, tetapi semuanya tidak menjadi. Kami gagal menemui rentak permainan yang dimahukan,” kata Kane.
© New Straits Times Press (M) Bhd