Sensasi pemain berusia 15 tahun juarai Terbuka Malaysia

Sensasi pemain berusia 15 tahun juarai Terbuka Malaysia


PEMAIN boling remaja negara, Ethan Damien Goh melakar sensasi apabila menjuarai Terbuka Malaysia di Petaling Jaya pada Ahad.

Kejayaan tersebut diraih selepas atlet berusia 15 tahun itu mengejutkan rakan senegara yang juga juara bertahan, Hafiz Zainuddin 220-180 dalam aksi final di Sunway Mega Lanes.

Ia merupakan gelaran pertamanya bersama skuad senior dan kejayaan tersebut amat sukar dipercayai kerana bersaing dengan ramai pemain berpengalaman.

“Saya sangat teruja dapat bermain dalam perlawanan akhir. Kejayaan ini tidak dijangka, namun saya sangat bangga dengan cara saya beraksi hari ini (Ahad),” katanya.

Kejayaan itu membolehkan Ethan memperoleh wang besar RM50,000, manakala Hafiz meraih RM25,000 dan Luke Doyle dari Australia membawa pulang RM13,000 setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Terbuka Malaysia menarik penyertaan pemain boling bertaraf dunia termasuk Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol serta juara Jelajah PBA,Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Bagaimanapun Ethan langsung tidak gentar dengan nama-nama besar itu dan kejayaan tersebut akan dikenang sebagai salah satu kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan.

Dalam pusingan pertama final stepladder, Hafiz menewaskan Doyle 219-182 untuk mendapatkan peluang merebut gelaran.

Namun Ethan lebih awal memperagakan impiannya untuk mendahului pusingan Masters dengan jumlah lapan permainan yang hebat menerusi 1,998 jatuhan pin mengatasi Doyle (1,876) dan Hafiz (1,755).

“Saya tidak pernah melalui perlawanan stepladder seperti ini. Ia pengalaman berharga. Saya tidak dapat melakukannya tanpa keluarga, jurulatih dan semua yang telah menyokong saya.

“Sejujurnya, saya terlalu teruja dan tidak tahu apa lagi yang boleh saya katakan,” katanya.

Pemain kidal yang belajar di Maple Leaf Kingsley International School di Putra Heights itu mewakili Sarawak dalam kejohanan tempatan.

Selepas kejayaan besar itu, Ethan memasang impian untuk menyertai pasukan kebangsaan bagi Piala Dunia Remaja di Sweden pada 15 hingga 22 Jun depan.



Source link

OR

Scroll to Top