Sentiasa lakukan pemeriksaan berkala dan ad hoc di pusat asuhan kanak-kanak

Sentiasa lakukan pemeriksaan berkala dan ad hoc di pusat asuhan kanak-kanak


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala di lebih 300 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar di bawah agensi itu.

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pemeriksaan turut membabitkan tenaga pengasuh yang digaji majikan yang semestinya memiliki kursus Kursus Asuhan Permata (KAP).

“Mana-mana majikan yang ingin mengoperasikan premis asuhan kanak-kanak mesti memiliki pengasuh yang ada kursus KAP dan jika tidak, JKM tidak akan keluarkan lesen operasi.

“Ada lebih 300 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan JKM di Kelantan dan kami membuat pemeriksaan sama ada secara berkala atau ‘ad hoc’ jika wujud sesuatu kes tapi setakat tahun ini belum ada lagi kes yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026, anjuran Yayasan Petronas di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli manakala perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim.

Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata, pengambilan tenaga pengasuh juga akan disemak melalui Sistem Anak JKM untuk memastikan keselamatan dan kualiti asuhan.

“Menerusi sistem ini, kita akan dapat kesan latar belakang individu sama ada mempunyai rekod jenayah atau masalah kesihatan.

“Justeru itu, tapisan akan dapat dibuat bagi memastikan mana-mana individu yang bekerja dalam bidang yang membabitkan kanak-kanak tiada masalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top