BINTANG sensasi England, Jude Bellingham kembali menjadi wira Real Madrid apabila meledak gol tunggal perlawanan menewaskan Juventus 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabéu pada Khamis.
Gol berharga itu hadir pada minit ke-58 menerusi gerakan lincah Vinícius Jr yang menewaskan tiga pemain The Old Lady sebelum melepaskan rembatan ke tiang. Bola muntah pantas disambar Bellingham untuk menjaringkan gol pertamanya sejak pulih daripada pembedahan bahu pada Jun lalu.
Selepas separuh masa pertama yang hambar, aksi babak kedua berubah rancak dengan serangan berbalas antara kedua-dua pasukan. Juventus tampil lebih berhati-hati, mengekang Real Madrid dengan formasi lima pertahanan sambil menanti peluang melakukan serangan balas.
Namun, keampuhan penjaga gol Thibaut Courtois menyelamatkan tuan rumah apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya, termasuk rembatan penyerang Serbia, Dušan Vlahović yang hampir membuka tirai jaringan buat gergasi Serie A itu.
“Perlawanan yang sukar dan penuh cabaran. Kedua-dua pasukan mencipta peluang. Ini kemenangan penting menentang pasukan besar. Sembilan mata penuh, dan kini kami tumpu ke Anfield,” ujar Courtois selepas tamat perlawanan.
Di sebalik kemenangan itu, Kylian Mbappé gagal meneruskan rentak jaringan selepas 11 perlawanan berturut-turut bersama Madrid dan Perancis, apabila dua percubaannya ditepis cemerlang oleh penjaga gol Juventus, Michele Di Gregorio, yang turut menafikan rembatan bahaya daripada Brahim Díaz.
Real Madrid menamatkan perlawanan dengan 28 percubaan ke arah gawang berbanding hanya beberapa peluang buat pasukan pelawat.
Ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir, pengendali Xabi Alonso melakukan beberapa pertukaran menjelang aksi El Clásico menentang Barcelona hujung minggu ini.
Juventus hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun sepakan deras Filip Kostić berjaya ditepis keluar oleh Courtois.
Situasi semakin meruncing buat Juventus yang kini gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut di semua kejohanan, dan hanya mengutip dua mata daripada tiga aksi Liga Juara-Juara setakat ini.
Walaupun kecewa, Di Gregorio tetap memuji semangat juang rakan sepasukannya.
“Kekalahan memang menyakitkan, tetapi sikap dan kesungguhan malam ini sangat luar biasa. Inilah asas untuk kami bangkit semula,” katanya.
Ringkasan AI
- BINTANG England, Jude Bellingham, menjaringkan gol tunggal memenangkan Real Madrid 1-0 ke atas Juventus
- Gol berharga Bellingham hadir pada minit ke-58 menerusi gerakan lincah Vinícius Jr
- Thibaut Courtois menampilkan penyelamatan penting, menafikan beberapa percubaan berbahaya dari Juventus
- Kylian Mbappé gagal meneruskan rentak jaringan selepas 11 perlawanan berturut-turut bersama Madrid dan Perancis
- Juventus kini gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut di semua kejohanan