Sentuhan sulaman warisan klasik yang malar hijau

Sentuhan sulaman warisan klasik yang malar hijau


mahaizura@mediaprima.com.my

TIDAK semua fesyen busana direka untuk mengikut trend. Buktinya, biarpun lebih tiga abad berlalu, teknik sulaman pada kain berkedut dikenali sebagai ‘Smocking’ atau ‘English Smocking’ kekal sebagai warisan klasik yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Mengikut sejarah, teknik jahitan ini bermula di Eropah termasuk di United Kingdom lebih 300 tahun lalu apabila petani dan buruh lelaki serta wanita zaman itu menyulam bahagian berkenaan bagi menahan kedutan supaya pakaian lebih fleksibel selain tahan lama.

Pada zaman serba kekurangan, teknik ‘smock’ dijahit untuk membolehkan pakaian dipakai lebih lama dan boleh dilaras mengikut perubahan saiz tubuh.

Menjelang 1870-an, teknik ini berevolusi menjadi simbol keanggunan apabila ia mula menghiasi pakaian wanita dan kanak-kanak, seterusnya menjadi warisan keluarga.

Boleh dikatakan hampir setiap anak kecil memiliki sepasang ‘heirloom dress’, busana smocking yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Keistimewaan smocking terletak pada prosesnya. Setiap kedutan diatur dengan teliti sebelum disulam menggunakan benang halus, seolah-olah menganyam corak pada kanvas tekstil.

Gabungan teknik asas sulaman seperti ‘cables’, ‘trellis’ dan ‘wave’ boleh menghasilkan pelbagai motif geometri seperti ‘hearts’ dan ‘diamonds’.

Hari ini, smocking tidak pupus, malah kembali mendapat perhatian di Australia, Amerika Syarikat dan Sepanyol selain berkembang ke Jepun dan rantau Asia lain.

Setiap negara menampilkan identiti tersendiri melalui pemilihan kombinasi warna dan potongan, namun teknik asasnya kekal sama iaitu sulaman tangan yang halus dan penuh disiplin.

Di Malaysia, seni ini diteruskan Erpha Ahdayani Othman, 48, antara penggiat dan pengusaha tempatan yang jatuh cinta pada ketelitian jahitan.

Kata Erpha, perjalanannya bermula dengan hobi menjahit dan mengambil tempahan menyulam pada pakaian dewasa, namun selepas menjalani pembedahan pada 2008, dia terpaksa berehat daripada menggunakan mesin jahit.

“Semasa tempoh pemulihan, suami menghadiahkan majalah dan buku smocking supaya saya dapat terus berkarya tanpa menekan pedal mesin jahit.

“Daripada situ, saya mula belajar sendiri melalui rujukan buku terbitan antarabangsa, berlatih berulang kali sehingga menguasai teknik asas sebelum menghasilkan dress pertama.

“Ketika era blog sedang rancak, saya ambil peluang berkongsi hasil kerja secara dalam talian dan mula menerima tempahan,” katanya.

Lama-kelamaan, dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada dress smocking kanak-kanak kerana memerlukan ketelitian ekstra dan setiap helai mempunyai fokus berbeza berbanding pakaian dewasa.

“Dalam kategori fesyen, smocking paling sinonim dengan dress kanak-kanak seperti ‘square yoke dress’ dan ‘bishop dress’.

“Untuk bayi lelaki pula, rekaan seperti ‘romper’ dan ‘boy’s suit’ menjadi pilihan klasik. Perincian ‘picture smocking’ pada bahagian dada menjadikan busana itu lebih menyerlah, tampak mahal dan sarat nilai estetika,” katanya.

Bagi dewasa pula, katanya, smocking biasanya hadir pada blaus atau kaf lengan sebagai perincian eksklusif yang menjadikan penampilan pemakainya lebih klasik dan ‘refined’.

“Pemilihan fabrik terbaik penting supaya sepadan dengan nilai sulaman tangan yang memakan masa.

“Kain kapas berkualiti tinggi seperti ‘cotton twill’, ‘pima cotton’, ‘swiss dotted voile’ atau ‘cotton’ lawn sering menjadi pilihan.

“Bagi bayi, material campuran kain kapas dan polyester seperti ‘Imperial Batiste’ dan ‘Imperial Broadcloth’ juga sesuai kerana lembut dan selesa pada kulit,” katanya.

Menurut Erpha, smocking tidak dihasilkan secara besar-besaran kerana ia bukan ‘fast fashion’.

“Setiap helai mengambil masa dan kesabaran. Justeru, harganya lebih tinggi dan pelanggan biasanya terdiri daripada golongan yang menghargai seni buatan tangan.

“Selalunya, kebanyakan tempahan datang daripada ibu dan nenek yang memiliki kenangan dengan fesyen ini ketika kecil terutama yang pernah menetap di luar negara.

“Mereka mahu anak dan cucu merasai pengalaman sama dengan menyarung busana klasik yang sarat nostalgia,” katanya.

Menurut Erpha, seiring peredaran masa, smocking kini berkembang dalam bentuk moden apabila teknik kedut dan sulam diaplikasikan pada beg, sarung bantal dan hiasan dinding sehingga menghasilkan tekstur serta corak unik.

Erpha turut melihat potensi smocking kerana mempunyai komuniti peminat tersendiri di seluruh dunia.

Namun, berbeza di luar negara yang mempunyai persatuan aktif memelihara seni ini, menurut Erpha, pendedahan smocking di Malaysia masih belum meluas.

“Saya harap seni smocking dapat dimasukkan dalam silibus sekolah, kolej vokasional atau Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) supaya generasi muda mengenali dan menguasainya.

“Jika perlu dirumuskan dalam tiga perkataan bagi saya, smocking ialah eksklusif, klasik dan tidak lapuk dek zaman,” katanya.

Turutan proses menghasilkan teknik smocking:

1. Kain kapas dicuci terlebih dahulu.

2. Sebelum kain dipotong, benang ditarik untuk memastikan ira kain lurus.

3. Proses mengedutkan kain dengan menggunakan sejenis mesin pengedut atau secara manual.

4. Proses smocking dan sulam bunga.

5. Proses blocking.

6. Proses mencantum dress.

7. Proses finishing (butang dan jahitan tangan)

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top