PEMERGIAN tragis penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota yang terbunuh bersama adiknya, Andre Silva dalam kematangan ngeri terus mendapat simpati komuniti sukan dunia.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez berkata, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang dirasainya pada ketika ini.
“Saya akan sentiasa ingat senyumanmu, seorang rakan seperjuangan yang baik di dalam dan luar padang.
“Saya kirimkan segala kekuatan buat keluarganya. Dari mana pun dia berada, saya pasti dia akan sentiasa bersama kalian, terutama isteri dan tiga anaknya,” ujar Nunez.
Legenda Liverpool dan England, Jamie Carragher, turut meluahkan rasa terkejut dan simpati terhadap kehilangan tersebut.
“Saya hanya mampu membayangkan perasaan rakan sepasukannya di Liverpool dan Portugal. Mereka pasti sedang berada dalam kesedihan yang amat dalam.
“Kehilangan ini mengingatkan kita betapa pantas hidup boleh berubah. Selepas musim panas yang hebat, kini keluarganya menerima berita paling menyayat hati dalam sekelip mata. Sukar untuk diterima,” kata Carragher.
Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, turut memuat naik ucapan takziah di Instagram: “Takziah Diogo. Salam takziah buat keluarga dan rakan-rakan dalam saat yang amat menyedihkan ini.”
Rakan sepasukan Jota dalam skuad kebangsaan Portugal, Ruben Neves yang kini bersama kelab Al-Hilal berkata: “Orang hanya hilang apabila kita melupakannya. Saya tak akan pernah lupa kamu.”
Penyerang Fulham, Raul Jimenez yang pernah beraksi bersama Jota di Wolverhampton Wanderers menyifatkan kehilangan itu sebagai amat mengejutkan.
“Sukar untuk menerima berita ini. Saya masih belum mampu percaya.
“Dia bukan sahaja rakan sepasukan yang hebat, tetapi juga seorang sahabat sejati dan bapa yang baik. Terima kasih atas segalanya, sahabat. Kami akan sentiasa mengenangimu.”
Pemilik minoriti Liverpool dan legenda NBA, LeBron James, turut berkongsi kesedihan menerusi laman X dengan menulis: “Doa saya mengiringi semua yang disayangi mendiang.”
Jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal, menyifatkan kematian Jota sebagai berita yang amat menyedihkan dan menyayat hati.
“Seluruh kasih, sokongan dan doa saya buat isterinya, anak-anak, keluarga serta rakan-rakan dalam waktu yang sukar ini,” kata juara Grand Slam sebanyak 22 kali itu.
Pemain sayap Manchester City, Jack Grealish, turut menyatakan rasa sedih yang mendalam menerusi hantaran di media sosial: “Saya kehilangan kata-kata.”
Sementara itu, pertahanan Manchester United dan rakan senegara Jota, Diogo Dalot berkata: “Saya masih tidak mampu berkata apa-apa.”