Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cari kepah

Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cari kepah


KUANTAN: Seorang lelaki Cina dikhuatiri lemas berhampiran jeti Balok di Sungai Balok di sini ketika sedang mencari kepah kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang berusia lingkungan 57 tahun sedang bercuti di kawasan itu bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Ketika mangsa sedang mencari kepah ketika itu air sungai mulai surut, namun begitu mangsa tetap meneruskan aktiviti mencari kepah.

“Dalam tempoh itu, mangsa tidak menyedari bahawa air sungai sudah mula pasang dan ketika itu dia sudah berada di tengah-tengah sungai berhampiran pokok bakau.

“Sewaktu kejadian, keluarga dan kawan-kawan yang berada di tebing sungai hanya mampu melihat situasi mangsa tiba-tiba telah hilang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Zulfadli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan pasukan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gebeng dengan keanggotaan seramai 12 orang termasuk ketua balai segera pergi ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Setakat ini, operasi pencarian dilakukan sejauh 15 kilometer dari lokasi dan hanya dilakukan di bahagian permukaan di sekitar lokasi sahaja di mana mangsa dikatakan hilang,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top