Seorang maut, dua cedera bangunan dalam pembinaan runtuh

Seorang maut, dua cedera bangunan dalam pembinaan runtuh


MELAKA: Seorang buruh warga asing maut manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera dalam kejadian runtuhan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut merupakan warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, manakala dua lagi yang terselamat ialah warga Pakistan, Zubair Ahmad, 32, dan Abbas Ghulam, 49.

Menurutnya, Jidan maut dipercayai kerana mengalami kecederaan parah daripada bahagian pinggang ke bawah manakala dua yang lain cedera pada leher, bahu, tangan dan kepala.

“Dalam kejadian pukul 6 petang itu, kesemua mangsa dipercayai sedang bekerja di tingkat bawah sebelum lantai konkrit di tingkat satu tiba-tiba runtuh menyebabkan kesemua mangsa terperangkap.

“Zubair merupakan mangsa pertama ditemukan selamat dan berjaya dikeluarkan dari bahagian tepi celahan runtuhan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 6.40 petang.

“Mangsa kedua pula ditemukan selamat dan dibawa keluar dari bahagian tengah runtuhan kira-kira pukul 8.45 malam. Mangsa ketiga warga Bangladesh ditemukan pihak bomba dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit, hampir sejam usaha membawanya keluar dari runtuhan tersebut,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba I R. Saiful Iswandy R. Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.18 petang.

Ujarnya, seramai 81 pegawai dan anggota termasuk 35 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) digerakkan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan Melaka Tengah tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit sebelum menggerakkan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top