Sepak Takraw Piala Asia: Kuadran Malaysia ‘libas’ China

Sepak Takraw Piala Asia: Kuadran Malaysia ‘libas’ China


Aksi pasukan Malaysia ketika menentang pasukan China peringkat kumpulan acara Kuadran ASTAF Sepak Takraw Asian Cup Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa hari ini. Foto Bernama

MALAYSIA membuka gelanggang acara kuadran dengan menundukkan China pada aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.

Pada aksi di Stadium Titiwangsa di sini, skuad negara yang mempertaruhkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim, bagaimanapun bermula goyah apabila ketinggalan 2-7 sebelum bangkit dengan kemenangan set pertama 15-10.

Set kedua, China membuat dua pertukaran pemain dengan hasrat melakukan kebangkitan namun tidak mendatangkan hasil apabila dihukum Malaysia dengan kekalahan 3-15.

Jurulatih kuadran negara Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman ,anak buahnya lambat ‘panas’ sehingga menyaksikan persembahan kurang baik pada awal perlawanan.

“Pada awalnya skuad kita nampak bergelut tapi Alhamdulillah mereka dapat segera bangkit mencari mata.

“Namun saya tekankan kepada pemain untuk memperkemas corak serangan selepas ini selain mengurangkan kesilapan,” katanya ketika ditemui.

Malaysia seterusnya akan menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan B malam ini.

Terdahulu, Filipina tewas kepada Jepun dengan keputusan 12-15, 6-15 dalam satu lagi aksi pembukaan kumpulan itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top