Sepanyol terpaksa akur tewas menerusi penentuan penalti ketika menentang Portugal. Foto AFP
PENGENDALI Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, pasukannya kini memfokuskan kepada saingan Piala Dunia selepas tewas kepada Portugal menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final Liga Negara-Negara di Munich pada Isnin.
“Mulai saat ini, kami sudah pun berfikir tentang Piala Dunia yang menjadi matlamat utama kami. Dengan pendekatan yang kami ambil, saya yakin kami akan melangkah jauh,” katanya.
Menurut De la Fuente, Sepanyol tetap berada pada tahap terbaik untuk terus mencabar kejuaraan dengan semangat dan komitmen tinggi dalam kalangan pemain.
“Kami sentiasa hampir untuk menang. Pasukan ini memiliki semangat juang dan nilai sejarah yang kuat,” katanya.
Dalam aksi penuh dramatik itu, Sepanyol dua kali mendahului sebelum Portugal menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan kedudukan 2-2.
Ketika sepakan penalti, kedua-dua pasukan menyempurnakan tiga sepakan pertama masing-masing, namun percubaan Alvaro Morata diselamatkan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.
Ruben Neves kemudiannya menyempurnakan sepakan kemenangan untuk memberikan Portugal kemenangan 5-3.
Untuk rekod, Sepanyol menjuarai Liga Negara-Negara UEFA pada 2023 dan Euro 2024. Kekalahan kepada Portugal itu merupakan kekalahan kompetitif pertama mereka sejak tumbang kepada Scotland pada Mac 2023 dalam kelayakan Euro.
Barisan muda Sepanyol sekali lagi mempamerkan aksi meyakinkan, namun perlawanan kali ini turut menyerlahkan kebergantungan mereka terhadap Pedri.
Dalam kemenangan 5-4 ke atas Perancis sebelum ini, Pedri dikeluarkan ketika Sepanyol mendahului 5-1, sebelum Perancis menjaringkan tiga gol lewat permainan.
Dalam perlawanan final kali ini, Sepanyol dilihat hilang rentak selepas pemain tengah Barcelona itu digantikan pada lewat permainan.
De la Fuente turut mengakui keletihan pemain selepas musim yang panjang menjadi antara faktor kekalahan, namun memuji keampuhan skuad Portugal.
“Portugal bermain dengan sangat baik dan mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia,” katanya.