PEMAIN gantian, Mikel Oyarzabal menjaringkan gol empat minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas England dalam aksi final Euro 2024 pada awal pagi Isnin.
Kemenangan itu menjadi kejuaraan Eropah keempat buat La Roja manakala England terus kempunan tewas dalam dua perlawanan akhir berturut-turut.
Oyarzabal yang menerima umpanan Marc Cucurella ketika serangan balas pantas untuk gol kemenangan Sepanyol memastikan rentak cemerlang memenangi kesemua tujuh perlawanan yang diharungi mereka dalam kejohanan itu.
Separuh masa pertama berlangsung agak hambar dengan Sepanyol mempunyai lebih banyak penguasaan dan lawan mereka mendapat satu-satunya percubaan tepat ke sasaran.
Oyarzabal (kanan) muncul wira Sepanyol ketika menewaskan England 2-1. – Foto: AFP
Namun, segalanya berubah pada separuh masa kedua dengan Sepanyol hanya memerlukan dua minit untuk memecah kebuntuan gol.
Pemain remaja sensasi Sepanyol, Lamine Yamal melakukan hantaran sempurna untuk pemain sayap Nico Williams meledak gol pertama pada minit ke-47.
Selepas itu, Sepanyol mempunyai beberapa peluang keemasan dan siri serangan berbahaya mengancam kubu pertahanan England.
Pengendali England, Gareth Southgate melakukan pertukaran memasukkan Ollie Watkins dan Cole Palmer dan hasilnya penyerang Chelsea itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73.
Namun, Sepanyol tetap tenang untuk menjaringkan gol kemenangan melalui pemain gantian, Oyarzabal pada minit ke-86.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
OR