LEGENDA Manchester United, Roy Keane tidak berpuas hati selepas pengendali pasukan itu, Ruben Amorim mempertahankan barisan pemainnya selepas menyaksikan mereka tewas 0-3 kepada Manchester City dalam aksi derby.
Walaupun prestasi hambar dipamerkan, Amorim enggan menuding jari kepada anak buahnya dan menegaskan semua pemain telah memberikan komitmen maksimum.
Namun Keane berpendapat sebaliknya dengan menyifatkan jurulatih Portugal itu sepatutnya naik berang selepas menyaksikan pasukannya kalah dalam derby.
“Dia kata dia tidak terlalu marah, dia gembira dengan usaha pemain… tetapi mereka tewas 0-3 dalam perlawanan derby. Sepatutnya dia mengamuk, sepatutnya dia marah.
“Dia bercakap tentang momentum, tetapi bola sepak memang ditentukan oleh detik-detik penting. Malangnya, detik itu sentiasa memihak lawan, bukan United ketika ini, termasuk kalau lawan pasukan kecil seperti Grimsby sekalipun.
“Dia patut marah. Saya suka jurulatih yang ada emosi, tetapi saya juga mahu lihat jurulatih menunjukkan rasa geram. Saya tidak dapat bayangkan suasana bilik persalinan selepas kalah 0-3 derby, tetapi semua hanya cakap ‘kita dah cuba’,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan United hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan awal Liga Perdana. Amorim tetap mempertahankan pasukannya dengan menyatakan United masih dalam fasa membina pasukan berbanding City yang sudah terbukti dengan tujuh kejuaraan liga di bawah Guardiola.
Sebelum ini, Amorim mempertahankan para pemainnya selepas tewas kepada City dan menyifatkan United sedang dalam fasa memantapkan pasukan.
“Kami berdepan jurulatih yang sudah menang tujuh gelaran Liga Perdana. Kami sedang membina sesuatu untuk cuba bersaing. Saya tidak mahu pertahankan diri sendiri, ini memang cabaran yang kami perlu tempuhi. Kami perlu buat lebih baik.
“Tahun lalu kami seri dan menang lawan City, kali ini kami ada peningkatan tetapi butiran kecil jelas tidak cukup bagus. Kami sedang membina tetapi sudah tentu perlu menang.
“Saya tidak gembira, tetapi saya tidak nampak seorang pun pemain yang tidak berikan maksimum. Itu tanggungjawab saya, bukan mereka. Saya tahu penyokong kecewa, tetapi saya tidak boleh tuduh pemain tidak berusaha. Dari segi kecerdasan permainan, ya kita boleh tambah baik – tetapi itu salah saya,” kata Amorim.
Ringkasan AI
- Roy Keane tidak berpuas hati dengan sikap Ruben Amorim yang mempertahankan pemain Manchester United selepas kalah 0-3 kepada Manchester City.
- Amorim menegaskan semua pemain telah memberi komitmen maksimum walaupun kalah
- Keane berpendapat Amorim sepatutnya marah dan menunjukkan emosi selepas kekalahan dalam derby
- United hanya mengutip empat mata dari empat perlawanan awal Liga Perdana
- Amorim beranggapan United masih dalam fasa pembinaan berbanding City yang sudah lebih mapan