Harimau Malaya sekali lagi berdepan masalah ketiadaan penyerang tulen. Foto: MALAYSIA NT
ISU ketumpulan jentera serangan Harimau Malaya kembali menjadi perhatian menjelang dua aksi penting perlawanan persahabatan menentang Cape Verde dan aksi kedua Kumpulan F menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
Pada aksi pertama menentang Nepal Mac lalu, skuad kendalian Peter Cklamovski mencatat kemenangan 2-0, namun persembahan di bahagian serangan dilihat kurang menyengat meskipun berjaya meraih tiga mata.
Kemenangan itu juga dianggap kurang meyakinkan memandangkan Harimau Malaya berdepan lawan yang berada di ranking lebih rendah dan seharusnya mampu mencatat keputusan lebih besar sekiranya penyudah di bahagian serangan lebih tajam.
Menjelang pertembungan dengan Vietnam yang dijangka cukup mencabar selain misi tiga mata penting di laman sendiri, pemilihan pemain oleh Cklamovski kekal hampir sama tanpa penambahan penyerang berkualiti yang benar-benar mampu memberi impak.
Biarpun sebelum ini ada dakwaan penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva akan dinaturalisasikan, namun dia masih perlu menunggu selepas tempohnya beraksi di negara ini masih belum memenuhi syarat.
Selain itu, usaha untuk mencari pemain warisan yang beraksi di bahagian serangan masih belum ditemui menyaksikan posisi tersebut masih belum dapat diisi dengan penyerang berkualiti.
Bagaimanapun, pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli tidak menganggap ketiadaan penyerang tulen sebagai isu besar.
“Kita tidak boleh menilai hanya berdasarkan senarai nama kerana taktikal moden kini lebih fleksibel dan bukan hanya penyerang menjaringkan gol.
“Pemain sayap dan pemain tengah menyerang juga boleh memainkan peranan menjaringkan gol, bergantung kepada idea dan taktikal pasukan.
“Kebijaksanaan Cklamovski memainkan peranan dan dia perlu pandai menggunakan pemain yang ada bagi memastikan kita tidak tumpul di bahagian depan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Malaysia dijadual berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei sebelum sekali lagi menentang lawan sama bagi perlawanan tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
Selepas itu, skuad negara akan turun dalam aksi Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun.