Serangan paling maut di tengah Beirut

Serangan paling maut di tengah Beirut


Beirut: Dentuman kuat, asap tebal yang menjulang ke udara dan siren ambulans berbunyi sepanjang malam ketika serangan maut Israel melanda kawasan perumahan di tengah Beirut pada petang Khamis lalu.

Serangan Israel melanda dua lokasi tengah Beirut, membunuh 22 orang dan mencederakan lebih 100 mangsa, kata kementerian kesihatan Lubnan.

Ia adalah serangan paling maut yang menyasarkan tengah Beirut sejak Israel memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Lubnan, dua minggu lalu.

Di daerah Basta yang sebahagian besar penduduknya adalah Sunni dan Syiah, dua bangunan lama, runtuh.

Kira-kira satu kilometer (km) jauhnya, seorang penduduk Beirut masih terkedu mendengar bunyi letupan yang menakutkan itu.

“Selalunya saya tidak takut, tetapi kali ini ia seperti gempa bumi,” katanya sambil menambah bahawa dia mahu melarikan diri dari kawasan itu.

Pasukan penyelamat menghalakan lampu suluh besar ke arah runtuhan untuk melihat sisa kemusnahan dalam gelap.

Berpuluh-puluh lelaki, sebahagiannya memakai jaket kuning bekerja untuk membersihkan serpihan itu dengan penyodok, kelihatan beberapa daripada mereka terpaksa memijak lumpur akibat paip pecah.

“Awas, ada lubang di sana,” kedengaran seseorang menjerit.

Beberapa orang yang cedera terbaring di tepi jalan, manakala yang lain mengumpul pakaian mereka di dalam beg ketika mereka bersiap sedia untuk melarikan diri dari kawasan itu.

Israel berulang kali menyerang pinggir bandar selatan Beirut, kubu pergerakan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, sejak dua minggu lalu, tetapi serangan pada Khamis adalah kali ketiga yang menyaksikan pusat bandar itu menjadi sasaran.

Di tapak serangan kedua di kawasan kejiranan Nweiri, sebuah bangunan baharu setinggi lapan tingkat, rosak.

Ayman, yang tinggal di seberang jalan dan enggan memberikan nama penuhnya, berkata dia “mendengar tiga letupan”.

“Tingkap dapur meletup… dan anak saya mula menangis,” katanya.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas serangan yang dikatakan oleh Agensi Berita Nasional (NNA) bahawa lokasi terbabit adalah bangunan kediaman.

Pasukan itu bekerja keras termasuk untuk memindahkan penduduk dari tingkat atas menggunakan tangga.

Hassan Jaber yang tinggal di bangunan berhampiran berkata, dia cedera di tangan dan kaki disebabkan serangan itu.

Suasana menjadi tegang selepas Hizbullah dan tentera Lubnan memasang pengawal keselamatan di sekitar kawasan berkenaan.

Hizbullah berkata, ia membatalkan sidang akhbar yang dirancang pada hari Jumaat, “memandangkan perkembangan semasa” berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top