Beirut, Lubnan: Pihak berkuasa Lubnan pada Sabtu berkata bahawa lebih daripada 25 orang telah ditahan susulan serangan terhadap konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencederakan dua anggota pasukan pengaman, termasuk timbalan komander pasukan yang akan bersara.
Pegawai PBB dan Lubnan telah mengecam serangan pada Jumaat itu, yang berlaku ketika penyokong Hizbullah menyekat jalan ke satu-satunya lapangan terbang antarabangsa negara itu untuk malam kedua berturut-turut sebagai protes terhadap keputusan menghalang dua penerbangan Iran daripada mendarat.
Pada Sabtu, seorang wartawan AFP melaporkan bahawa gas pemedih mata telah dilepaskan untuk menyuraikan orang ramai yang sekali lagi menyekat jalan ke lapangan terbang selepas kumpulan yang disokong Iran itu menggesa satu perhimpunan duduk bantah.
Menteri Dalam Negeri, Ahmad al-Hajjar, memberitahu wartawan bahawa “lebih daripada 25 orang telah ditahan oleh perisikan tentera Lubnan”, dengan seorang lagi ditahan oleh pihak keselamatan.
“Ini tidak bermaksud mereka yang ditahan adalah pelaku serangan… tetapi siasatan akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya, sambil menambah bahawa pelanggaran undang-undang akan ditangani “dengan penuh ketegasan”.
Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) telah menuntut “siasatan penuh dan segera” selepas salah satu kenderaannya dibakar dalam serangan itu, yang mencederakan Timbalan Komander Pasukan, Chok Bahadur Dhakal, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Nepal setelah menamatkan misinya.
Timbalan jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel, memberitahu AFP bahawa seorang lagi anggota pengaman dari Nepal turut cedera.
Presiden Joseph Aoun berikrar bahawa “penyerang akan menerima hukuman mereka”, dan berkata “pasukan keselamatan tidak akan berlembut dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu kestabilan dan keamanan awam”.
Perdana Menteri Nawaf Salam berkata kebebasan bersuara adalah penting tetapi “jika ada usaha menyekat jalan dan menyerang harta benda awam serta persendirian, pasukan keselamatan terpaksa bertindak terhadap keganasan tersebut”.
Tentera Lubnan berkata bahawa beberapa kawasan sekitar lapangan terbang menyaksikan “demonstrasi yang dicemari dengan perbuatan vandalisme dan pertempuran, termasuk serangan terhadap anggota angkatan tentera dan kenderaan”.
Video yang tular di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan, sesetengahnya bertopeng dan membawa bendera Hizbullah, menyerang seorang lelaki berseragam tentera dan seorang lagi berpakaian biasa berhampiran kenderaan UNIFIL yang dibakar.
Masih belum jelas siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Saluran televisyen Hizbullah, Al-Manar, menyalahkan “lelaki bertopeng yang tidak dikenali” dan berkata para penunjuk perasaan telah menyatakan “penolakan mereka terhadap serangan ke atas konvoi UNIFIL”.
Menteri Pengangkutan Fayez Rasamny berkata kerajaan sedang berusaha membawa pulang rakyat Lubnan yang terkandas di Iran menggunakan syarikat penerbangan nasional Middle East Airlines, tetapi Tehran belum memberikan ‘kebenaran yang diperlukan’.
Perdana Menteri Salam berkata Beirut akan membiayai kepulangan rakyat Lubnan melalui laluan lain jika perlu.
Iran menyatakan kesediaannya untuk “perbincangan konstruktif” dengan Lubnan bagi memulihkan penerbangan, menurut kenyataan Kementerian Luar Iran selepas panggilan telefon antara menteri luar kedua-dua negara.
Israel berulang kali menuduh Hizbullah menggunakan lapangan terbang Beirut untuk memindahkan senjata dari Iran, dakwaan yang dinafikan oleh Hizbullah dan pegawai Lubnan.
Jabatan Penerbangan Awam Lubnan berkata pada Khamis bahawa mereka telah “menjadualkan semula sementara” beberapa penerbangan, termasuk dari Iran, sehingga 18 Februari kerana mereka sedang melaksanakan “langkah keselamatan tambahan”.
Tarikh tersebut bertepatan dengan tarikh akhir untuk Israel melengkapkan pengundurannya dari selatan Lubnan serta pengosongan kedudukan ketenteraan Hizbullah di rantau itu, di bawah perjanjian gencatan senjata yang bermula pada November dan kemudiannya dilanjutkan.
Pada Sabtu, media negara Lubnan melaporkan bahawa drone Israel telah menyerang bahagian selatan negara itu, namun tiada korban dilaporkan.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan akhir tahun lalu, kedua-dua pihak sering menuduh satu sama lain melanggar perjanjian tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata serangan seperti ini sama sekali tidak boleh diterima… Keselamatan dan perlindungan anggota serta harta benda PBB mesti dihormati setiap masa,” kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.
“Serangan terhadap pasukan pengaman melanggar undang-undang antarabangsa… dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd