Seorang lelaki berstatus duda dicekup berkhalwat bersama seorang wanita dalam sebuah khemah yang didirikan di ruang tamu rumah pusaka di Kluang, Johor, awal pagi semalam, memetik laporan BH Online.
Khemah itu didakwa dipasang kerana rumah pusaka milik keluarga lelaki berkenaan sedang menjalani kerja pengubahsuaian ketika serbuan dibuat oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sekitar jam 3.30 pagi.
JAINJ memaklumkan, operasi dijalankan susulan maklumat awam. Ketika anggota tiba, kawasan luar rumah dalam keadaan gelap dan pintu utama didapati tidak berkunci dari dalam.
“Anggota masuk melalui pintu utama, namun pemeriksaan awal tidak menemukan sesiapa. Kemudian perhatian tertumpu kepada sebuah khemah yang dipasang di ruang tamu.
“Selepas terlihat seperti ada pergerakan di dalam khemah, anggota meminta individu di dalam keluar. Seorang lelaki keluar lengkap berseluar panjang dan berbaju, kelihatan terpinga-pinga seperti baru tersedar. Pemeriksaan diteruskan dan seorang wanita pula keluar memakai kain batik serta baju T. Hasil soal jawab mendapati mereka bukan pasangan suami isteri dan tiada pertalian mahram,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati kedua-duanya berusia dalam lingkungan 40-an dan bekerja di daerah yang sama.
“Lelaki itu dipercayai tinggal bersendirian dan rumah tersebut merupakan peninggalan ibu bapanya yang kini sedang diubah suai.
“Mereka mendirikan khemah kerana pintu dan tingkap belum dipasang. Ada dakwaan tindakan itu dibuat supaya pergerakan mereka tidak mudah dilihat penduduk setempat. Pemeriksaan turut menemukan toto dan bantal di dalam khemah.
“Maklumat orang awam juga menyatakan wanita itu tinggal kira-kira 10 kilometer dari rumah berkenaan dan sering datang serta bermalam bersama lelaki itu,” katanya.
Pasangan tersebut ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Sumber: BH Online
Foto sekadar hiasan, dijana oleh AI.






