Serbuan LGBT: 3 lelaki mengaku miliki gambar, video lucah jantina sejenis

Serbuan LGBT: 3 lelaki mengaku miliki gambar, video lucah jantina sejenis


nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Tiga lelaki termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing didenda RM3,000 dan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki gambar video lucah jantina sejenis dalam serbuan di sebuah rumah di Kemumin di sini, 18 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ibrahim, 47; Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22 dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor di sini, kira-kira jam 1.15 pagi pada 18 Jun lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhamamd Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya memberi pengajaran kepada masyarakat awam memandangkan tindakan itu tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.

Manakala, Samantha memohon anak guamnya dikenakan denda paling minimum kerana kesemua mereka sudah insaf dan berjanji akan berubah.

“Mereka sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan dan keluarga juga berjanji akan membimbing mereka ke jalan yang benari,” katanya.

Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM3,000 kepada Mohd Hanafi manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas dikenakan denda masing-masing RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Media sebelum ini melaporkan, polis menyerbu sebuah banglo di Jalan Kemumin yang menganjurkan majlis perjumpaan komuniti perjumpaan makan-makan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki.

Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top