Serbuk protein, sambal diet jadi hantaran unik majlis pertunangan

Serbuk protein, sambal diet jadi hantaran unik majlis pertunangan


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bagi hantaran itu kerana nak hadiahkan sesuatu yang boleh diingati dan akan digunakan.

“Bagi saya itu lebih baik berbanding saya hadiahkan barangan seperti minyak wangi,”.

Itu kata Yasmien Zainal Abidin, 30, ketika berkongsi kisahnya yang menghadiahkan tunangnya, Ariff Amaruddin Azmi, 31, hantaran berupa serbuk minuman protein, makanan tambahan dan sambal diet ketika majlis pertunangan mereka pada 23 November lalu.

Yasmien yang juga pembuat kek sepenuh masa berkata, sejak awal perkenalan, dia tahu minat tunangnya yang ke arah bidang kecergasan.

Mempunyai minat yang sama (rutin kecergasan), Yasmien berkata dia tidak terfikir untuk beri barangan lain melainkan yang berkait dengan kecergasan.

“Saya tahu jiwa jadi itu yang bagi hantaran berkenaan selain sambal diet buatan saya sendiri.

“Jadi, dia akan lebih menghargainya dan yang penting, pemberian itu ikhlas, bukan sebab harga sebaliknya sesuai dengan tanda pertunangan,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ariff Amaruddin atau mesra disapa Amar berkata, dia menghargai dan terharu dengan pemberian tunangnya itu.

Amar yang juga atlet bina badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, pemberian itu tanda tunangnya memahami minatnya yang obses dengan bidang kecergasan dan bina badan hingga sanggup membelanjakan 90 peratus gaji bulanan bagi membeli keperluan terutama untuk penyediaan makanan diet.

“Di sekolah dulu, saya aktif dalam olahraga, bola sepak, taekwondo dan silat namun minat ke arah bina badan selepas melihat legenda bina badan negara, Sazali Samad di kaca televisyen.

“Syukur kerana keluarga beri galakan dan permulaan saya dalam rutin kecergasan sebelum aktif bina badan ketika berumur 20 tahun.

“Jadi sejak itu, saya lebih disiplinkan diri dengan jaga pemakanan dan banyak dapat tunjuk ajar jurulatih yang juga atlet bina badan PDRM, Zmarul Al Adam,”katanya.

Amar berkata, usahanya berhasil kerana pernah menduduki podium dalam pertandingan bina badan disertai.

“Saya pernah mewakili negara dan dapat tempat ketiga dalam Kejohanan Bina Badan Asia Tenggara di Batam, Indonesia pada 2023 selain juara kejohanan Mr Police tahun sama.

“Tahun lalu, saya dapat tempat kedua dalam Mr Police 2024 di Johor dan kedudukan sama dalam Mr Malaysia peringkat kebangsaan.

“Terbaru iaitu pada 14 Disember lalu, rezeki berpihak kepada saya apabila dapat tempat ketiga keseluruhan dalam kategori 80 kilogram (kg) ke atas di kejohanan Mr Borneo di Sabah ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top