Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz tampil memberikan penjelasan susulan kritikan segelintir pihak yang memintanya menegur ahli keluarga sendiri sebelum bercakap soal agama kepada umum.
Menerusi perkongsian di platform Threads, suami kepada selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor itu menjelaskan setiap individu mempunyai tanggungjawab hijrah masing-masing dan perlu melaksanakannya dengan penuh hikmah.
“Setiap orang melalui proses hijrahnya atas tanggungan dirinya telah diwajibkan perintah Allah. Soal kita mampu atau tidak, kita sentiasa usaha dengan cara sehabis daya. Hikmah dan kecerdikan menjadi senjata utama kita, terutama dalam menegur.
“Menceritakan proses dengan meremehkan ajaran-Nya itu kita elakkan. Walaupun mungkin niatnya baik, cara tidak menghalalkannya. Jadi simpanlah ‘kurang cerdik’ kepada diri sendiri kerana dikhuatiri Tuhan memarahinya,” katanya.

PU Riz turut menjawab komen sinis yang menyarankan agar dia ‘melihat cermin dahulu’ atau menegur keluarga sendiri sebelum menasihati masyarakat.
“Kepada yang akan komen ‘elok tengok cermin dulu’, ‘pergi tegur adik-adik dahulu’, ‘saya cadangkan pusing area keluarga dulu’, ini jawapan saya.
“Pertama, tidak pernah kita setuju dengan maksiat ini. Seiring dengan hadis Nabi tentang sesiapa yang melihat kemungkaran mesti dicegahnya sama ada secara diam atau terbuka, telah pun konsisten saya menyebut mengenainya,” katanya.
Menurutnya, dalam konteks berkeluarga, kebijaksanaan dan konsistensi amat penting dalam menyampaikan teguran agar tidak menimbulkan fitnah atau salah faham.
“Kedua, soal tanggungjawab. Yang sedap mengecam dan komen tanpa arah, dalam kita hidup berkeluarga besar, perlu ada kebijaksanaan dan konsisten menegur. Ajak ke jalan Tuhan dengan dua hal iaitu hikmah dan contoh yang baik.
“Jika dilihat sebahagian tafsir ayat Allah tentang ‘jaga keluarga dari api neraka’, itu lebih tertumpu kepada ahli rumah. Boleh rujuk Ibnu Kathir.
“Lebih kepada anak-anak dan isteri yang di dalam tanggungan rumah kita. Pandanglah dengan ilmu, bukan hanya emosi semata,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: Dari Rakan Kerja Jadi Rakan Serumah, PU Riz Kongsi Kisah Pilih Neelofa Sebagai Isteri





