najiy.jefri@hmetro.com.my
SELEPAS menjuarai pertandingan Who’s Your Bro musim pertama pada awal Februari lalu, pelakon Hakimi Noordin mahu mengintai peluang untuk menceburi bidang lakonan secara serius.
Walaupun namanya lebih dikenali dalam dunia peragaan, Hakimi yakin lakonan adalah cabang seni yang ingin diterokainya sejak sekian lama.
“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pelakon. Saya suka melihat sesuatu karakter dalam drama atau filem dan mengambil pengajaran daripada situ.
“Dari situlah timbul keinginan untuk meletakkan diri di tempat itu dan merasai sendiri bagaimana pengalaman menjadi salah seorang daripada mereka,” katanya.
Tambah Hakimi, dia mengaku sudah mula berusaha mencari peluang dalam bidang lakonan sejak tahun 2020. Namun, rezekinya hanya tiba selepas lima tahun mencuba.
“Tahun 2025 adalah tahun kelima saya cuba mengintai peluang untuk menjadi pelakon. Saya sudah mencuba pelbagai sesi uji bakat atau ‘casting’, tetapi rezeki masih belum memihak kepada saya.
“Sehinggalah tahun ini, saya akhirnya diberi peluang pertama untuk membawa watak dalam sebuah drama bersiri terbitan Zeel Production Sdn Bhd,” katanya.
Sebagai seorang model yang sudah kukuh bertapak dalam industri fesyen, ramai yang tertanya-tanya mengapa Hakimi tetap memilih untuk berlakon.
Baginya, lakonan memberikan satu dimensi baru yang tidak dapat diperoleh dalam dunia peragaan.
“Dalam dunia peragaan, saya sudah biasa memperagakan pelbagai jenis pakaian dan membawa karakter yang berbeza. Selain itu, saya juga perlu bermain dengan ekspresi muka di hadapan kamera tanpa dialog.
“Dari situlah timbul keinginan untuk mencuba sesuatu yang lebih mencabar iaitu menghidupkan sesebuah karakter dengan ekspresi dan dialog,” katanya.
Dalam dunia lakonan, Hakimi menjadikan pelakon Zahiril Adzim sebagai idolanya selepas menonton drama yang dibintangi berjudul Juvana The Series.
“Saya sangat mengagumi Zahiril Adzim kerana cara lakonannya yang begitu bersahaja dan berkesan. Sejak menonton Juvana The Series, saya menjadikannya sebagai inspirasi dalam bidang ini,” katanya.
Hakimi juga sedar perjalanan dalam dunia lakonan tidak mudah, tetapi dia percaya kepada usaha berterusan dan kesabaran.
Dia mahu membuktikan kemampuannya tanpa bergantung kepada populariti sedia ada sebagai seorang model.
“Saya tahu perjalanan ini mencabar, tetapi saya bersedia untuk belajar dan bekerja keras. Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai model yang mencuba nasib dalam lakonan, sebaliknya saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang benar-benar berusaha dalam bidang ini,” katanya.
Dalam menempuh dunia hiburan yang penuh cabaran, Hakimi menanam prinsip untuk sentiasa merendah diri dan menghormati semua orang.
“Saya selalu bercakap pada diri sendiri, jangan pernah sesekali sombong dengan sesiapa pun yang hadir dalam hidup ini, sama ada kita di bawah atau di atas.
“Layanlah semua orang dengan baik dan sama rata. Sentiasa bersyukur dan beringat untuk berpijak di bumi nyata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd