asmaini@mediaprima.com.my
Dalam dunia kecantikan moden yang sarat dengan pelbagai produk kimia, ramai wanita kini kembali memilih bahan semula jadi sebagai alternatif penjagaan kulit.
Antara bahan semula jadi yang sering menjadi pilihan ialah aloe vera atau lidah buaya.
‘Tumbuhan ajaib’ ini digunakan sejak zaman berzaman untuk merawat dan menyegarkan kulit, khususnya pada bahagian wajah.
Gel lidah buaya mengandungi lebih 95 peratus air, menjadikannya pelembap semula jadi yang baik untuk membantu mengekalkan hidrasi kulit tanpa meninggalkan rasa melekit.
Bagi mereka yang memiliki kulit kering atau menggelupas, penggunaan gel lidah buaya secara konsisten dapat mengembalikan kelembapan dan menjadikan kulit lebih lembut serta licin.
Selain itu, salah satu khasiat utama lidah buaya ialah sifat anti radang dan anti bakteria yang mampu membantu mengurangkan jerawat.
Ia bukan sahaja menenangkan kulit yang meradang, malah membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka kecil akibat jerawat.
Kandungan asid salisilik dan sulfur dalam lidah buaya juga berfungsi membersihkan pori serta mengelakkan pembentukan jerawat baharu.
Dalam pada itu, lidah buaya juga kaya dengan antioksidan seperti vitamin C dan E yang berperanan melawan radikal bebas, punca utama penuaan pramatang.
Penggunaan gel lidah buaya berterusan juga dapat membantu mengurangkan garis halus, menegangkan kulit serta menjadikan wajah yang lebih bermaya dan segar.
Apa yang pasti, lidah buaya bukan sekadar tumbuhan hiasan di laman rumah, tetapi rahsia kecantikan semula jadi yang terbukti berkesan menjaga kulit wajah.
Dengan khasiatnya yang pelbagai, tidak hairanlah jika lidah buaya terus menjadi pilihan ramai dalam rutin penjagaan kulit sehingga ke hari ini.
Cara mudah menggunakan lidah buaya di rumah
1. Ambil sehelai daun aloe vera, potong dan keluarkan gelnya.
2. Sapukan terus ke wajah yang bersih dan biarkan selama 15 hingga 20 minit.
3. Bilas dengan air suam dan keringkan dengan lembut.
4. Amalkan dua hingga tiga kali seminggu untuk hasil optimum.
© New Straits Times Press (M) Bhd





