Sesi pemilihan skuad Sukma Perak kurang sambutan

Sesi pemilihan skuad Sukma Perak kurang sambutan


SESI pemilihan skuad bola sepak Perak bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2025–2026 yang dijalankan di beberapa daerah kurang mendapat sambutan daripada pemain tempatan.

Program pemilihan yang berlangsung dari 10 hingga 25 Mei lalu, dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di lima lokasi berbeza di seluruh negeri.

Ketua jurulatih pasukan, Syamsul Mohd Saad berkata, jumlah kehadiran pemain yang hadir dalam sesi tersebut tidak mencapai sasaran meskipun setiap daerah telah diminta menghantar wakil masing-masing.

“Sambutan tahun ini agak mengecewakan. Setiap daerah hanya menghantar sekitar 10 hingga 15 pemain sahaja. Hari ini, hanya 64 pemain hadir berbanding sasaran seramai 78 orang.

“Mungkin dari segi hebahan kurang menyeluruh, saya tidak pasti. Atau mungkin juga kerana isu semasa bola sepak negeri, termasuk masalah kewangan yang menjejaskan minat pemain,” katanya kepada Sinar Harian selepas sesi pemilihan terakhir di Stadium Mini Chepor di sini pada Ahad.

Syamsul (kiri) memberikan amanat kepada pemain yang hadir ke sesi pemilihan terakhir Sukma Perak 2025-2026 di Stadium Mini Chepor di sini pada Ahad.

Syamsul (kiri) memberikan amanat kepada pemain yang hadir ke sesi pemilihan terakhir Sukma Perak 2025-2026 di Stadium Mini Chepor di sini pada Ahad.

Menurut Syamsul, daripada keseluruhan pemain yang hadir, kira-kira 50 akan disenarai pendek untuk menyertai sesi latihan pusat selama empat hari yang akan diadakan di lokasi sama sebelum senarai akhir pasukan dimuktamadkan.

Beliau berkata, latihan pusat penting untuk menilai kesesuaian dan kemampuan pemain, terutama bagi mengisi beberapa posisi kritikal seperti pertahanan tengah dan penyerang.

“Kita mungkin akan tukar posisi pemain tertentu, contohnya dari bek kanan ke pertahanan tengah. Tempoh empat hari ini amat penting untuk kami lihat prestasi dan kesesuaian mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis dengan kualiti pemain yang hadir dan yakin pasukan boleh dibentuk dengan baik.

“Majoriti pemain adalah bekas skuad Piala Belia dan Piala Presiden musim lalu. Hampir kesemuanya anak jati Perak hasil program akar umbi seperti Akademi Tunas, Pusat Latihan Daerah (PLD) dan NFDP,” jelasnya.

Tambah beliau, penyertaan pemain luar negeri sangat minimum dan hanya akan dipertimbangkan sekiranya perlu selepas latihan pusat selesai.

Latihan pusat pertama dijadual bermula pada 30 Mei ini sebagai fasa terakhir sebelum pembentukan rasmi skuad bola sepak Sukma Perak 2025–2026.



Source link

OR

Scroll to Top