Sesi townhall MPK platform luah masalah, cari solusi selesai isu rakyat

Sesi townhall MPK platform luah masalah, cari solusi selesai isu rakyat


KANGAR: Sesi Townhall Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menjadi platform kepada pihak berkuasa tempatan itu mendengar seterusnya mencari solusi isu melingkari rakyat di negeri ini.

Dalam sesi bagi Parlimen Kangar yang berlangsung hari ini, antara perkara dibangkitkan adalah seperti isu sampah, lesen permit hiburan dan pelaksanaan sistem parkir pintar di bandar berkenaan.

Bagi isu sistem parkir pintar, terdapat cadangan agar dipermudahkan daripada aspek kelancaran keluar masuk dan kemudahan pembayaran menggunakan kad debit.

Menjawab antara persoalan yang dibangkitkan itu, Yang Dipertua MPK Kangar, Affendi Rajini Kanth berkata, bagi isu penyediaan tong sampah di kampung-kampung, setakat ini, sebanyak 150 kemudahan tersebut telah ditempatkan.

Katanya, manakala selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat yang membabitkan keseluruhan 388 kampung.

Ujarnya, sebagai alternatif, pihaknya juga mencadangkan lokasi pembuangan sampah sementara bagi memudahkan rakyat.

“Sementara berkaitan kemudahan pembayaran menggunakan kad debit untuk parkir pintar tersebut ia telah dilaksanakan mengikut jadual dengan penggunaan kad debit tersebut berkuat kuasa penggunaan pada 1 Ogos ini.

“Manakala daripada segi kelancaran keluar masuk, operasi berkenaan perlu dijalankan bagi kita mengenal pasti sebarang kelemahan untuk ditambah baik daripada masa ke semasa,” katanya dalam sesi townhall yang diadakan di
Dewan Bankuet Kompleks kerajaan negeri di sini hari ini.

Sesi itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah; Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Senator, Azahar Hassan serta Baharuddin Ahmad.

Rata-rata yang hadir itu juga melihat sesi townhall yang diadakan itu adalah satu usaha yang cukup baik dan menunjukkan komitmen MPK dalam mendengari isu rakyat.

Sesi townhall tersebut bertujuan memberi ruang kepada masyarakat setempat menyuarakan pandangan, cadangan serta permasalahan secara langsung kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat membabitkan pelbagai isu seperti kebersihan bandar, jalan rosak, sistem perparitan dan kemudahan awam.

Ia juga mencerminkan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan pimpinan kawasan dalam memastikan kesejahteraan serta keperluan rakyat terus diberi perhatian.

Sementara itu, Affendi Rajini berkata, dalam usaha memberi kemudahan kepada rakyat, MPK terus kekal dengan polisi menyelesaikan aduan dalam tempoh 24 jam melibatkan isu MPK.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top