PENYERANG baharu Manchester United, Benjamin Sesko berikrar untuk membantu kelab itu ‘terbang tinggi semula’ selepas mendedahkan sebab utama di sebalik keputusannya menyertai The Red Devils.
Penyerang tengah berusia 21 tahun itu melengkapkan perpindahan dari RB Leipzig pada hujung minggu lalu dan menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan baharunya buat kali pertama pada Ahad, menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal.
Sebelum ini, masa depan Sesko menjadi tanda tanya dengan beberapa kelab gergasi Eropah dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya. Namun, pemain antarabangsa Slovenia itu mengakui potensi United untuk kembali ke puncak kejayaan menjadi faktor utama pilihannya.
“Matlamatnya adalah untuk menjadi lebih baik, membina keserasian sebagai satu pasukan, dan berkembang bersama secara berperingkat kerana kami semakin meningkat.
“Kami akan menjadi lebih lengkap dari semasa ke semasa.
“Hanya menunggu masa untuk kami kembali terbang tinggi semula,” katanya kepada MUTV.
Mengulas tentang keputusannya menerima tawaran Old Trafford, Sesko menjelaskan ia gabungan status kelab dan potensi skuad sedia ada.
“Sebab utama adalah kelab ini sendiri. Ia sebuah kelab bersejarah yang menakjubkan.
“Bagi saya, pasukan ini hebat dan semakin baik dari masa ke masa. Itu yang membuatkan saya mahu datang ke sini, memberi tenaga untuk menjadi sebahagian daripadanya.
“Secara keseluruhannya, ia satu projek yang hebat dan saya tidak sabar untuk bermula.”
Sesko yang baru tiba di Carrington beberapa jam sebelum latihan berkata, sambutan yang diterimanya membuatkan dia berasa seperti berada dalam sebuah keluarga.
“Saya sudah dapat rasakan kami akan menjadi sebuah keluarga yang hebat dan ia satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripadanya.
“Rasanya sangat baik. Lambang ini sesuai dengan saya, dan saya tidak sabar untuk memakainya di padang serta mewakili kelab dengan cara terbaik,” katanya.