Kejutan mewarnai pentas Kejuaraan Liga Ragbi Terengganu 2025 apabila Sekolah Menengah Sains Mahmud Old Boys (SESMA OB) menamatkan kempen dengan penuh bergaya setelah menundukkan pasukan pilihan, Marang Rugby, 24-14 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.
Di bawah kendalian ketua jurulatih, Mohd Nazri Mohd Ramli, skuad bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Mahmud turun dengan misi jelas untuk mengatasi tekanan serta berjaya mengekang asakan agresif lawan sepanjang perlawanan.
Kelibat bekas kapten skuad kebangsaan, Mohamad Nasharuddin Ismail, nyata mencuri tumpuan apabila menjadi pemangkin kemenangan menerusi empat tendangan penalti serta satu tendangan conversion yang mengukuhkan kelebihan buat SESMA OB.
Lebih manis, kemenangan itu turut mengesahkan SESMA OB sebagai juara keseluruhan liga musim ini selepas memintas Kemaman Rugby melalui kelebihan jaringan, walaupun kedua-dua pasukan terikat dengan kutipan mata yang sama di tangga teratas.
Kemaman Rugby, yang sebelum ini mendahului carta liga, terpaksa akur di kedudukan kedua setelah gagal menyaingi perbezaan jaringan keseluruhan dimiliki SESMA OB.
Sementara itu, Mohd Nazri menyifatkan kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan edisi 2025 sebagai pencapaian luar biasa berdasarkan persiapan awal musim.
“Melihat pada persiapan pasukan SESMA OB untuk musim ini, walaupun hadir selaku finalis musim lalu, kami sebenarnya tidak menyasarkan untuk muncul juara. Apatah lagi, kami mencatatkan satu kekalahan sepanjang musim ini berbanding Kemaman Rugby yang memiliki rekod tanpa kalah.
“Namun, untuk perlawanan akhir ini, hendak atau tidak kami perlu bermati-matian mempertahankan kedudukan di tempat kedua sekurang-kurangnya, berdasarkan jumlah mata yang telah dikutip.
“Marang Rugby yang kembali hadir selaku pasukan pilihan musim ini sudah tentu bukan laluan mudah buat kami.
“Sejujurnya, kami juga tidak menyangka akan muncul juara melalui penentuan jumlah perbezaan kutipan mata dan jaringan yang diperoleh selama ini kerana fokus kami hanya untuk meraih sebanyak mungkin kemenangan dalam setiap perlawanan, walaupun pernah tewas satu perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menamatkan kempen dengan keputusan memberangsangkan apabila menewaskan Royal Malaysia Police Terengganu 36-7, sekali gus melonjak ke kedudukan ketiga liga. Kekalahan Marang Rugby pula menyaksikan mereka tergelincir ke tangga keempat.
Bagi kategori individu, Mohamad Nasharuddin Ismail terus cemerlang apabila diumumkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Rakan sepasukannya, Muhammad Haikal Ibrahim pula dinobatkan sebagai Pemain Backline Terbaik.
Sementara itu, anugerah Pemain Forward Terbaik menjadi milik Mohd Harith Asyraff Rosid daripada pasukan Kemaman Rugby.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Mohammad.