ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Genap setahun insiden disimbah asid yang mengubah hidupnya, pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim tampil meluahkan penghargaan atas doa dan sokongan yang tidak pernah putus daripada semua pihak sepanjang tempoh pemulihannya.
Dalam satu kenyataan penuh emosi di media sosial, Faisal berkata, pengalaman yang dilaluinya setahun lalu memberi pengajaran besar dalam hidupnya dan menguatkan semangat untuk terus bangkit demi keluarga dan bola sepak tanah air.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas doa semua yang kenal dan tidak kenal diri ini. Setiap majlis doa selamat yang dijalankan ketika saya masih dalam fasa pemulihan amat saya hargai. Kekuatan dalam diri ini sedikit sebanyak datang daripada anda semua,” katanya.
Faisal turut merakamkan penghargaan khas kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah atas sokongan padu yang diberikan ketika diuji.
“Sokongan daripada keluarga saya – isteri, anak, abah, mama, abang, kakak ipar dan mertua – buat saya berdiri teguh sampai hari ini. Kerana merekalah saya nampak kekuatan, dan untuk mereka saya mahu terus berjuang dalam kehidupan,” kata pemain yang mesra disapa Mickey itu.
Dia juga tidak melupakan peranan rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan yang sentiasa berada di sisi, terutamanya dalam proses pemulihannya untuk kembali ke padang dan mendapatkan semula rentak permainan.
“Kepercayaan daripada jurulatih dan pengurusan tidak akan saya lupakan. InshaAllah saya akan terus bangkit dan berikan yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan bola sepak,” ujarnya.
Faisal, yang pernah memukau peminat negara dengan aksi lincah dan gol penting bersama Harimau Malaya, kini kembali dalam misi membina semula momentum kariernya.
© New Straits Times Press (M) Bhd