rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Setiap hari saya ke hospital minta untuk uruskan jenazah anak tapi pihak terbabit tak benarkan. Saya beritahu nak bayar (bil hospital), tunggu gaji.”
Demikian penjelasan Safwan Roshdy, 22, bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham yang meninggal dunia selepas dilahirkan dan mayatnya didakwa ‘disimpan’ dalam peti sejuk beku selama 16 hari oleh sebuah hospital swasta.
Menurut Safwan, bukan kehendaknya mahu isteri bersalin di hospital swasta sebaliknya berlaku tanpa diduga apabila ada individu lain membantu menghantar isterinya yang sedang sakit untuk bersalin.
Menceritakan kejadian, dia berkata, ketika itu dia sedang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor, sebelum menerima panggilan mengenai keadaan isterinya yang sedang menahan sakit untuk bersalin.
“Saya bergegas pulang dan individu yang membantu menghantar isteri saya ke hospital swasta berdekatan.
“Sebaik tiba, hospital beritahu isteri sudah nak bersalin dan saya diberitahu bayi kami tidak sempurna iaitu tiada hidung dan lubang dubur. Saya terima semua ketentuan Allah.
“Bayi saya dilahirkan dengan selamat malah semasa iqamatkan, dia aktif dan boleh menangis seperti bayi lain.
“Tapi selepas itu hospital beritahu anak saya dah meninggal,” katanya ketika ditemui di Kota Damansara di sini, malam ini.
Bercerita lanjut, Safwan berkata, dia dimaklumkan oleh pihak hospital punca kematian bayinya adalah akibat kesukaran bernafas.
Katanya, dia memohon untuk menguruskan jenazah bayinya itu namun pihak hospital tidak membenarkannya kerana belum menjelaskan bayaran bil.
“Setiap hari saya minta lepaskan jenazah bayi untuk dikebumi, biar isteri di hospital sementara saya belum bayar tapi hospital tak benarkan juga.
” Saya tak boleh nak buat apa sebelum minta bantuan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ),” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan dikeluarkan pihak hospital mengenai dia dan isteri tidak berkahwin selain enggan menuntut jenazah, Safwan menafikan dakwaan itu.
Sebaliknya dia berkata, mereka sudah berkahwin dan isu terbabit timbul mungkin disebabkan isteri tidak mempunyai ‘buku pink’ (rekod rawatan wanita mengandung).
Safwan mengakui isteri tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital disebabkan masalah kewangan namun mereka sentiasa memantau usia kandungan melalui aplikasi di telefon pintar.
“Saya sangat kecewa dan sedih dengan tuduhan pihak hospital dan komen orang ramai di media sosial.
“Ketika ini, keadaan isteri sangat tidak stabil. Saya tidak mahu mengganggu emosinya dan mahu ambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd