suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik kemudahan aplikasi e-hailing yang menjadi pilihan ramai hari ini, tersimpan pelbagai pengalaman harian pemandu yang berdepan ragam penumpang serta situasi tidak dijangka ketika di jalan raya.
Bagi sebahagian pemandu, pekerjaan itu bukan sekadar mencari rezeki tetapi turut membuka ruang kepada mereka untuk berdepan realiti sosial yang pelbagai setiap hari.
Berkongsi pengalaman itu, pemandu e-hailing, Mohamad Azizi Anuar, 27, berkata, sudah tiga tahun dia menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa dan menganggap setiap perjalanan sebagai satu pengalaman baharu.
“Setiap hari memang lain-lain, kita jumpa macam-macam ragam penumpang. Kadang-kadang ada yang ceria, ada yang diam saja sepanjang perjalanan.
“Bagi saya, itu semua sudah jadi sebahagian daripada kerja,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai situasi di jalan raya, dia tetap meneruskan kerja tersebut kerana sudah menjadi rutin harian sebagai pemandu e-hailing.
Azizi berkata, antara pengalaman yang paling diingati adalah apabila terpaksa berdepan situasi sukar mengawal keadaan penumpang dalam kenderaan serta perjalanan ke lokasi yang mencabar pada waktu malam.
“Bila keadaan macam seperti itu berlaku, memang kita kena lebih berhati-hati dan fokus.
“Semua itu memang pengalaman yang tak boleh dijangka bila kita kerja di jalan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizi berkata, pengalaman yang paling diingati adalah ketika menjemput penumpang dari kawasan kelab malam di Bukit Jalil dalam keadaan mabuk teruk sampai tidak sedarkan diri.
Menurutnya, ketika kejadian itu dia bersama dua rakan penumpang yang lain memapah seorang lelaki masuk ke dalam kenderaan sebelum dihantar ke destinasi di Puchong.
“Dia memang sudah tidak sedar, sepanjang jalan meracau dan buat bunyi pelik.
“Bila sampai rumah, dia sendiri tidak kenal rumah dia, kami yang kena bantu pastikan dia sampai betul-betul,” katanya.
Azizi berkata, selepas selesai menghantar penumpang tersebut, dia menyedari ada barang milik pelanggan tertinggal dalam kenderaan dan terpaksa berpatah balik untuk memulangkannya.
Selain itu, Azizi turut berkongsi pengalaman berdepan penumpang warga emas yang didakwa cuba merayu untuk mengurangkan bayaran tambang dalam perjalanan dari Selayang ke sebuah pusat beli-belah, dengan pelbagai alasan diberikan sepanjang perjalanan.
“Dia kata nak minta kurang sikit tambang, macam-macam alasan dia bagi,” katanya.
Azizi berkata, walaupun keadaan difahami, dia menjelaskan caj perjalanan adalah mengikut kadar yang ditetapkan dalam aplikasi.
“Bila kita tengok perjalanan jauh juga, kita jelaskan ikut kadar dalam aplikasi,” katanya.
Menurutnya, walaupun penumpang itu akhirnya tetap membuat bayaran, situasi berkenaan menjadi antara pengalaman yang paling diingati sepanjang bergelar pemandu e-hailing.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai ragam penumpang, dia tetap menganggap kerja sebagai pemandu e-hailing sebagai satu rutin yang perlu dilaksanakan dengan sabar dan berhati-hati di jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






