am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas ratu cantik negara, Deborah Henry, 40, mendedahkan dia pernah di ‘cancel’ oleh pihak pengurusan satu pertandingan ratu cantik ketika mewakili Malaysia pada tahun 2007 hanya kerana menyuarakan pandangannya kepada pihak pengurusan.
Deborah berkata, tindakan itu menyebabkan dia langsung tidak menerima jemputan ke sesi menabalkan penggantinya selepas pertandingan berakhir.
“Saya lebih memihak kepada peserta kerana saya percaya kita perlu pertahankan diri. Ketika saya bersuara kepada pihak pengurusan acara itu pada 2007, saya terus tidak dijemput ke sesi ‘crowning’.
“Terus kena ‘cancel’. Tidak ramai tahu tentang hal ini. Jadi, setiap tindakan ada risikonya sendiri, ” kata Deborah ketika ditanya mengenai isu tular membabitkan pengarah dari Thailand serta peserta pertandingan ratu cantik baru-baru ini.
Dalam pada itu, Deborah turut mempersoalkan relevansi kedudukan peserta ratu cantik yang hanya dinilai melalui rupa paras di atas pentas tanpa mempunyai kelebihan lain.
“Peserta kebanyakannya masih muda dan kurang keyakinan, sebab itu mudah orang ambil kesempatan. Pentas kecantikan memang bagus untuk menimba pengalaman, tetapi sejauh mana relevannya kedudukan mereka jika hanya kecantikan yang dinilai?
“Pihak pengurusan dan peserta perlu mencari jawapan tentang isu relevansi ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Terdahulu, Deborah pernah memegang gelaran Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011, selain mencipta sejarah mara ke separuh akhir Miss World 2007, pencapaian pertama Malaysia selepas Lina Teoh pada 1998.
Dalam perkembangan lain, Deborah turut tampil dalam filem dokumentari berjudul Dignified: The Faisal Cup Story yang mengangkat kisah perjalanan sekumpulan anak pelarian berusaha mengejar impian beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dokumentari itu menonjolkan keberanian dan potensi golongan muda pelarian apabila diberi peluang dan sokongan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






