ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan podium berganda buat Malaysia dalam acara keirin lelaki pada Piala Trek Jepun 1 di Velodrom Izu, Shizuoka hari ini.
Shah Firdaus yang baru pulih daripada kecederaan terus membuktikan dia kembali berada pada prestasi terbaik apabila meraih pingat perak selepas tewas kepada jaguh tuan rumah, Kaiya Ota.
Azizulhasni pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk membawa pulang pingat gangsa sekali gus melengkapkan podium buat kem negara.
Pencapaian itu dilihat petanda positif buat Shah Firdaus yang semakin konsisten selepas muncul juara keirin pada Piala Trek Indonesia minggu lalu selain kembali memperagakan kayuhan agresif di pentas antarabangsa.
Terdahulu, Shah Firdaus tampil meyakinkan apabila menjuarai saringan ketiga pusingan pertama dengan mengetepikan wakil Jepun, Minato Nakaishi dan pelumba China, Li Zhiwei.
Azizulhasni turut mempamerkan aksi bertenaga apabila mengungguli saringan keempat sebelum kedua-dua pelumba negara mara bergaya ke pusingan seterusnya.
Dalam aksi pusingan kedua, Shah sekali lagi menyerlah apabila muncul juara saringan kedua menewaskan Ryoya Mikami dan Ota, manakala Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat ketiga saringan pertama.
Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini meraih emas acara keirin pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Malaysia April lalu manakala Shah Firdaus turut muncul juara keirin pada Piala Trek Indonesia di Jakarta minggu lalu.
Selepas kecewa dalam acara pecut semalam tanpa sebarang pingat, kedua-dua mereka berpeluang menebus kehampaan untuk siri kedua kejohanan itu yang berlangsung esok dan Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd
