Shah Firdaus sandaran Sukan Asia 2026

Shah Firdaus sandaran Sukan Asia 2026



aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketiadaan jaguh trek negara Datuk Azizulhasni Awang membuka ruang buat Muhammad Shah Firdaus memimpin skuad trek negara di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini meletak sepenuhnya kepercayaan dan yakin pelumba negara itu mampu membuahkan emas selepas dia berjaya menjuarai acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye bulan lalu.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, selain Shah Firdaus, skuad negara turut menyandarkan harapan kepada pelumba wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengalas cabaran di temasya utama selepas ini.

“Sandaran kem berbasikal pastinya dalam acara trek dan di Sukan Asia saya rasa Shah dan Izzah.

“Untuk lebuh raya, kita akan buat pemilihan nanti” kata Amarjit selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Jersi Rasmi antara Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ISports Wear, di sini, kelmarin.

Pada edisi lalu di Hangzhou 2022, kem berbasikal trek negara meraih empat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasukan.

Shah Firdaus meraih gangsa dalam acara pecut individu dan keirin manakala trio pecut berpasukan lelaki Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis turut membawa pulang gangsa.

Trio wanita diketuai Nurul Aliana Syafika Azizan, Izzah dan Anis Amira Rosidi meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan.

Semalam, Amarjit memaklumkan satu sidang media dijadual berlangsung esok bersama pihak PKBM, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Azizulhasni sendiri selepas arena sukan tanah air dibiarkan berteka-teki mengenai masa hadapan jaguh keirin itu sejak ‘berputih mata’ di Sukan Olimpik Paris 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top