PEMILIHAN pucuk pimpinan Olahraga Malaysia (MA) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Kuala Lumpur pertengahan bulan ini bakal menyaksikan saingan sengit empat penjuru.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendapat empat pencalonan bakal ditentang timbalannya, Datuk Mark William yang meraih dua pencalonan bagi AGM sesi 2025-2029 itu.
Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan nombor satu itu ialah Presiden Olahraga Perak, Datuk Karim Ibrahim dan Presiden Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.
Bagi dua jawatan Timbalan Presiden pula bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Karim yang juga bekas Presiden MA bagi sesi 2014-2019 turut menawarkan diri bagi jawatan nombor dua itu selain Wan Hisyam.
Turut bertanding ialah Naib Presiden MA, Datuk R Annamalai, Mohamat Hassan dan Sallehudin Safar.
Empat kerusi bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan pertembungan sembilan calon.
Shahidan ketika mengulas keyakinan untuk mempertahankan jawatan nombor satu tersebut menyerahkannya kepada ALLAH.
“Saya berdoa kepada ALLAH moga menang dengan cemerlang,” katanya.
Sebanyak 13 ahli gabungan dari persatuan negeri layak mengundi pada AGM yang dijadual berlangsung pada 15 Mei ini.
Shahidan turut menyifatkan ramai calon yang menawarkan untuk bertanding pucuk pimpinan MA sebagai demokrasi yang cukup hebat dan dahsyat.
“Ramai yang berminat dan semua orang boleh bertanding,” katanya.
Menyentuh mengenai kemungkinan calon mahu menarik diri Shahidan berkata, ia dibolehkan hingga ke hari AGM.
“Dalam perlembagaan boleh, dari semasa ke semasa hingga hari pemilihan,” katanya.