Shahmalarani siap sedia hadapi Liga Premier Karate 1

Shahmalarani siap sedia hadapi Liga Premier Karate 1


Kuala Lumpur: Atlet karate wanita negara C Shahmalarani bersiap sedia untuk menghadapi Liga Premier Karate 1 2025 selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Jurulatih kumite kebangsaan S Senthil Kumaran berkata, atlet berusia 26 tahun itu menjadi wakil tunggal Malaysia yang layak berdasarkan ranking dunia dalam acara bawah 50 kilogram untuk bertanding dalam kejohanan berprestij yang menghimpunkan atlet terbaik dunia.

“Kami bercadang untuk menghantar beliau menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan Liga Premier, bermula di Paris dari 24 hingga 26 Januari ini. Sebagai satu-satunya atlet yang layak, Shahmalarani menunjukkan prestasi baik untuk menghadapi Liga Premier selepas berlatih di AS baru-baru ini.

“Selain itu, acara utama kami tahun ini ialah Sukan Sea di Thailand pada bulan Disember, dan dia akan mempertahankan pingat emas yang dimenanginya,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 itu kepada Bernama.

Senthil Kumaran berkata, pasukan kejurulatihan juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar atlet karate negara yang lain bertanding pada kejohanan lain, termasuk Karate 1 Siri A walaupun keputusan itu masih belum dimuktamadkan.

Sementara itu, beliau berkata atlet kebangsaan akan menghadapi ujian utama pada Kejohanan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang dijangka diadakan bulan depan, Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) pada April dan Kejohanan Asia (Mei).

Kejohanan SEAKF dan Asia akan menjadi acara penting pemilihan skuad Sukan Sea.

Senthil Kumaran berkata skuad Sukan Sea, termasuk sasaran kategori dan persembahan akan dimuktamadkan selepas Kejohanan SEAKF dan Asia, apabila kemampuan atlet negara diuji ketika menentang pencabar terbaik dari rantau ini.

“Kami mempunyai beberapa atlet yang bertanding dalam kategori sama, manakala dalam beberapa kategori lain, kami kekurangan atlet kerana mereka sedang pulih daripada kecederaan.

“Kejohanan SEAKF dianggap sebagai pertandingan Pra Sukan Sea. Jadi menjelang bulan April, kami akan mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai siapa calon berpotensi untuk misi di Thailand,” katanya.

Sukan Sea 2025 di Thailand dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top