Shahrul Samsudin FOTO: FB KDA FC
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) secara rasminya mengumumkan bahawa Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Shahrul Samsudin yang sebelum ini Ketua Pegawai Operasi, Teknikal dan Pertandingan kelab, tidak lagi bersama pasukan Hijau Kuning berkuat kuasa 31 Mei.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, KDA FC juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Shahrul Samsudin yang mengisi kekosongan ditinggalkan Khamal Idris Ali pada Februari lalu.
“Beliau disifatkan sebagai individu yang setia bersama kelab sejak hari pertama diswastakan, dengan dedikasi, ketenangan, dan komitmen beliau menjadi tulang belakang dalam pelbagai fasa kelab,” kata kelab yang turut menyelit Biar Jasa Jadi Kenangan dalam titipan itu.
Sebagai rekod, Kedah Darul Aman menamatkan saingan Liga Super 2024/25 di tangga ke-11 dengan mengumpul 21 mata, hasil daripada enam kemenangan, enam seri, dan 12 kekalahan.
Malah, Hijau Kuning tersebut memulakan kempen dengan dikenakan pemotongan tiga mata oleh First Instance Body (FIB).
The Bendang Boys sebelum ini mengesahkan akan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak memberikan lesen kebangsaan kepada kelab tersebut.
Keputusan diambil sebagai cara membangunkan pasukan yang lebih stabil, tersusun, dan telus, demikian menurut kenyataan rasmi di laman Facebook KDA FC.