hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu berkuatkuasa, hari ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Senior Asisten Shahrulnizam Ja’afar yang sebelum ini menggalas jawatan berkenaan sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Shazeli dalam ucapan berkata, sepanjang menerajui IPD Petaling Jaya, Shahrulnizam membawa pelbagai penambahbaikan yang memberi impak positif kepada pentadbiran dan pengoperasian pasukan.
Katanya, kepimpinan Shahrulnizam bukan sahaja menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang, malah turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat, meningkatkan keberkesanan strategi pencegahan jenayah, serta memperkasa integriti dan disiplin warga IPD Petaling Jaya.
“Antara kejayaan yang cukup signifikan di bawah kepimpinan beliau ialah kelulusan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu di tapak sama, yang sudah mendapat kelulusan di Parlimen.
“Pencapaian ini amat bermakna kerana ia bakal memperkukuh keupayaan operasi pasukan serta menyediakan kemudahan prasarana yang lebih kondusif untuk warga IPD Petaling Jaya,” katanya.
Shazeli berkata, beliau turut percaya kepimpinan baharu yang diterajui Shamsudin mampu meneruskan dan memperkukuh keberkesanan pasukan di IPD Petaling Jaya.
Dalam pada itu, Shamsudin berkata, beliau akan meneruskan kerjasama yang baik terutama dengan masyarakat setempat dan pihak media, sekali gus optimis mengekalkan kesejahteraan dan menjamin keselamatan awam.
Shamsudin, 51, berasal dari Kuantan, Pahang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1 Oktober 1994. Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah sebagai Ketua Polis Daerah Baling, Kedah, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kuala Lumpur, seterusnya sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd