Wing Aung. Foto: Shan United FC
PENGENDALI Shan United FC, Han Win Aung mahu melakar kejutan, sekali gus meraih mata pertama dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, petang Khamis ini.
Menurut pengendali berusia 41 tahun itu, walaupun skuad kendaliannya sudah tidak berpeluang ke peringkat seterusnya, kesebelasan pemain tetap diingatkan agar beraksi sebaik mungkin sepanjang perlawanan.
Malah katanya, biarpun hadir dengan reputasi sebagai juara Liga Kebangsaan Myanmar, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana saingan ACC jauh berbeza.
“Seperti kita semua tahu, JDT merupakan pasukan yang hebat dan berkualiti. Sudah pasti aksi di peringkat domestik adalah jauh berbeza dengan kejohanan bertaraf ASEAN ini.
“Bagaimanapun, saya berharap pemain dapat memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit perlawanan, walaupun sedar peluang kita untuk layak sudah tertutup,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan berkenaan.

Penyerang sensasi Shan United, Bakayoko telah kembali memperkuatkan pasukan.
Untuk rekod, Shan United kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan B setelah gagal mengutip sebarang mata dan merekodkan tiga kekalahan berturut-turut selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Win Aung berkata, Shan United bakal mempamerkan corak permainan bertahan bagi memastikan skuad Harimau Selatan perlu bekerja keras untuk merobek benteng pertahanan mereka.
“Kita sedia maklum JDT dibarisi ramai pemain import yang berkualiti serta terkenal dengan corak permainan menyerang dan berintensiti tinggi.
“Jadi, kita tidak akan hanya mengawal pemain tertentu, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada keseluruhan pemain kerana masing-masing berupaya menjaringkan gol.
“Dalam masa yang sama, kita berkemungkinan akan menurunkan pemain yang kembali menyertai pasukan seperti Moussa Bakayoko bagi meledak jaringan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Shan United FC, Han Win Aung, ingin mencipta kejutan dan meraih mata pertama lawan JDT di Kejuaraan Kelab ASEAN
- Walaupun tiada peluang ke peringkat seterusnya, Shan United diingatkan untuk beraksi sebaik mungkin
- Prestasi sebagai juara Liga Kebangsaan Myanmar tidak dijadikan ukuran dalam saingan ACC yang lebih kompetitif
- Shan United berada di kedudukan tercorot Kumpulan B dengan tiga kekalahan berturut-turut
- Shan United akan menggunakan strategi bertahan dan berpotensi menurunkan Moussa Bakayoko untuk menambah potensi jaringan





