Shapawi Bidas kenyataan Megat

Shapawi Bidas kenyataan Megat



aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail tampil membidas dakwaan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang mengatakan bahawa beliau adalah hipokrit.

Tegas Shapawi, dakwaan Megat mengenai hasratnya untuk bertanding semata-mata untuk menjadi hero adalah tidak benar sama sekali kerana yang meminta beliau bertanding ialah ahli gabungan MPM yang dinaungi Megat sendiri.

Malah Shapawi menegaskan bahawa beliau tidak terkejut kerana itu adalah ‘taktik’ yang diguna pakai oleh seseorang yang hendak bertanding.

“Saya tidak terkejut dengan dakwaannya kerana beginilah kebiasaannya apabila ada seseorang hendak bersaing dengannya, akan mulalah serangan peribadi seperti ini.

“Kita terima ajelah..dah tahu ini sikapnya sama seperti yang dilakukannya terhadap pencalonan KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) semasa pemilihan tahun 2019 yang lalu.

“Sikap yang sama membuat dakwaan bahawa MSN membuli CDM Paralimpik Paris 2024 yang akhirnya dinafikan sendiri oleh CDM yang juga Setiausaha Agung MPM sendiri.

“Ibarat orang-orang tua kata ” Alah Bisa Tegal Biasa” ajelah,” katanya.

Tegas Shapawi, beliau yakin bahawa rakan-rakan di MPM termasuk Setiausaha Agung MPM lebih mengenali siapa beliau.

“Kalau mengikut dakwaannya semasa saya menjadi Ketua Pengarah MSN saya menindas pembangunan para, prestasi sukan para boleh menjawab persoalan itu.

“Bukan saja ahli-ahli gabungan malahan jurulatih, penggerak sukan para malahan beberapa atlet terkemuka para juga ada menemui saya meminta saya mempertimbangkan permintaan mereka untuk saya kembali membantu membawa perubahan kepada pembangunan sukan para.

“Saya dapat rasakan bahawa penggiat sukan para mahu perubahan dilakukan dengan alasan mereka tersendiri dan kita harus menghormati semangat mereka ini.

“Kita menghargai sumbangan semua pihak termasuk MPM dalam pembangunan sukan para, maka apa salahnya memberi peluang kepada pasukan yang lain meneruskan perjuangan itu.

“Ini bukanlah saya seorang sebaliknya satu pasukan mahu melakukan perubahan. Ia adalah sesuatu langkah yang normal dalam kita memperjuangkan amalan demokrasi tetapi yang penting kita melakukan dengan ikhlas demi ahli-ahli yang kita naungi dan bukannya atas kepentingan peribadi,” kata Shapawi.

Terdahulu Megat mengesahkan akan mempertahankan jawatannya selaku Presiden MPM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM dijadual berlangsung pada Sabtu ini dan beliau dijangka akan ditentang oleh Shapawi dalam persaingan satu lawan satu.

Megat berkata, ia kerana masih ada agenda yang masih perlu dilaksanakannya demi kemajuan MPM dan sukan para negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top