Pelakon, Shasha Abedul mendedahkan dia pernah mengalami kejadian misteri ketika menjalani penggambaran filem seram terbaharunya, Malam Terlarang, yang difilemkan di kawasan paya bakau terpencil.
Menurut Shasha, 29, antara pengalaman yang masih segar di ingatannya ialah apabila terdengar suara dipercayai pembantu pengarah memanggil namanya namun ketika ditanya kepada tuan badan, dia menafikan perkara itu.
“Saya sendiri pernah alami gangguan. Satu malam saya dengar suara orang panggil saya untuk bersiap di set, tapi bila saya tanya semula, orang itu kata dia tak panggil pun. Memang meremang,” katanya.
Shasha berkata demikain ketika ditemui pada malam gala Malam Terlarang, baru-baru ini.
Menjelaskan mengenai penampilannya yang tidak bertudung dalam filem itu, Shasha berkata penggambaran dijalankan sebelum dia berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya pertengahan tahun lalu.
“Filem ini dirakam pada Julai tahun lepas, sebelum saya berhijab sepenuhnya. Jadi saya harap penonton faham dan maklum ketika itu saya masih belum bertudung,” ujarnya.
Tambah Shasha, perubahan imej selepas penghijrahan tidak menjadi halangan untuk terus aktif dalam dunia seni malah membuka ruang untuknya mencuba watak yang lebih luas.

Filem arahan Nurhanisham Muhammad itu juga menjadi pengalaman pertama Shasha menjayakan naskhah bergenre seram, yang menuntut kekuatan fizikal dan emosi tinggi.
“Watak Mawar berat dari segi emosi dan fizikal. Untuk nampakkan keletihan watak itu, saya sengaja tidak tidur di set supaya benar-benar nampak lesu.
“Penggambaran dijalankan dari jam 6 petang hingga awal pagi, ada masa sampai 12 jam. Tapi dari situ saya belajar tentang disiplin dan ketahanan diri,” jelasnya.
Berlatarkan era 1980-an, Malam Terlarang mengangkat tema “Bila Bertuhankan Nafsu”, menggambarkan bagaimana manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak duniawi.
Naskhah ini menyorot kisah Mawar, gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, sementara bapanya, Omar, sibuk dengan dunia politik.
Namun, selepas kematian kakaknya, Safar, dia mula diganggu pelbagai kejadian aneh yang membongkar rahsia hitam keluarganya.
Selain Shasha, filem terbitan Tanahair Films ini turut dibintangi Zul Ariffin, Datin Sofia Jane, Sabri Yunus, Hasnul Rahmat dan Sharifah Haneesya, dan kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober lalu.





