Shearer mahu Bellingham panaskan bangku simpanan skuad England

Shearer mahu Bellingham panaskan bangku simpanan skuad England

Shearer mahu Bellingham panaskan bangku simpanan skuad England


Tuchel (tengah) disaran merehatkan Bellingham dan menyenaraikan Rogers dalam kesebelasan utama England pada aksi pembukaan Piala Dunia menentang Croatia pada 18 Jun ini. – Foto: Agensi

LEGENDA England, Alan Shearer mencetuskan perdebatan hangat menjelang pembukaan kempen Piala Dunia FIFA 2026 apabila mencadangkan pemain bintang, Jude Bellingham direhatkan daripada kesebelasan utama.

Shearer berpendapat pengurus England, Thomas Tuchel perlu memberi kepercayaan kepada Morgan Rogers untuk menggalas peranan nombor 10 ketika menentang Croatia dalam aksi pertama kumpulan.

Beliau percaya pemain tengah Aston Villa itu mampu memberi dimensi berbeza kepada jentera serangan England menerusi larian agresif dari bahagian tengah, sekali gus membantu kapten pasukan, Harry Kane.

“Saya mahu melihat Rogers bermain di belakang Kane. Saya rasa dia akan memberikan keseimbangan yang baik kepada pasukan kerana dia sentiasa melakukan larian ke depan dan memasuki kawasan berbahaya,” katanya.

Pada masa sama, Shearer turut mencadangkan England menurunkan gandingan Declan Rice dan Elliot Anderson di bahagian tengah bertahan, dengan Rogers beroperasi lebih ke hadapan.

Menurut Shearer, England sebelum ini gagal memanfaatkan sepenuhnya kemampuan Kane kerana kekurangan pemain yang mampu bergerak ke ruang kosong ketika penyerang itu turun mendapatkan bola.

“Kane gemar turun ke bawah untuk menerima hantaran dan mencipta peluang. Apa yang anda perlukan ialah pemain yang boleh berlari melepasi beliau.

“Rogers mempunyai kualiti itu dan sebab itulah saya mahu melihatnya beraksi,” katanya lagi.

Cadangan Shearer itu bagaimanapun dilihat sukar menjadi kenyataan apabila Bellingham baru-baru ini diberikan jersi nombor 10 bagi kempen Piala Dunia, petanda bahawa pemain Real Madrid itu masih menjadi tonggak utama dalam perancangan Tuchel.

England akan memulakan cabaran Kumpulan L menentang Croatia pada 18 Jun (4 pagi waktu Malaysia) sebelum berdepan Ghana dan Panama dalam usaha memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 1966.

 

Mesti Baca



Source link

OR

Scroll to Top