Shearer ramal Liverpool kekal juara EPL, Arsenal terus kempunan

Shearer ramal Liverpool kekal juara EPL, Arsenal terus kempunan


Liverpool dijangka terus kuasai EPL musim ini.

LEGENDA England, Alan Shearer meramalkan Liverpool berpotensi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini manakala pasukan baharu naik dijangka berdepan nasib malang.

Musim lalu, Liverpool mempamerkan dominasi sejak awal saingan, tanpa saingan sengit bagi merebut takhta.

Perbelanjaan besar, termasuk rekod pembelian Britain bagi mendapatkan Florian Wirtz jelas menunjukkan tekad pasukan itu untuk menjuarai liga dua musim berturut-turut.

Potensi kehadiran penyerang Newcastle United, Alexander Isak turut menguatkan lagi ramalan Shearer bahawa The Reds akan muncul juara sekali lagi.

Leeds United, Burnley dan Sunderland yang kembali ke saingan tertinggi pula dijangka hanya bertahan semusim sebelum kembali ke Liga Kejuaraan. Jika ramalan ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi tahun ketiga berturut-turut semua pasukan baharu naik gagal kekal di Liga Perdana.

Shearer turut meramalkan Arsenal akan sekali lagi menamatkan saingan di tangga kedua buat kali keempat berturut-turut walaupun sudah memperkukuh jentera serangan dengan penyerang baharu, Viktor Gyokeres.

Manchester City pula diramal menamatkan musim di tangga ketiga, selepas kehilangan khidmat Kevin De Bruyne untuk kali pertama dalam sedekad.

Bagi Manchester United, walaupun Ruben Amorim membawa masuk beberapa nama besar di bahagian serangan, Shearer menjangkakan mereka masih gagal kembali ke Liga Juara-Juara, sebaliknya akan dipintas Chelsea dan Newcastle di carta liga.

Shearer juga menjangka Tottenham di bawah Thomas Frank hanya mampu menamatkan saingan di tempat kelapan, satu anak tangga di belakang Aston Villa.

Di zon bawahan, Brentford diramal terselamat di tangga ke-17, manakala Everton, Crystal Palace, Fulham, Wolves dan Bournemouth berada dalam kelompok pertengahan liga. Brighton pula dijangka menghuni tangga kesepuluh di bawah kendalian Fabian Hurzeler.



Source link

OR

Scroll to Top