Mexico City: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengesahkan akan menghadiri aksi final Piala Dunia 2026 di New Jersey, Amerika Syarikat (AS), Ahad ini selepas menerima jemputan daripada Presiden AS, Donald Trump.
Sheinbaum berkata, beliau akan menghadiri perlawanan akhir yang menemukan Argentina dan Sepanyol itu bersama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, sebagai simbol kerjasama antara tiga negara tuan rumah Piala Dunia 2026.
“Saya merasakan ia penting dari sudut politik supaya ketiga-tiga negara tuan rumah Piala Dunia terbabit bersama. Ia juga menjadi tanda koordinasi dan kerjasama kukuh yang kita miliki dengan kerajaan AS,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Aksi final di Stadium MetLife, New Jersey akan menutup tirai kejohanan selama lima minggu yang bermula di Mexico City pada 11 Jun lalu dengan penyertaan 48 pasukan buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia.
Sebelum ini, Sheinbaum pernah menyatakan beliau tidak akan menghadiri sebarang perlawanan Piala Dunia sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Mexico yang tidak mampu membeli tiket perlawanan.
Harga tiket bagi aksi final dilaporkan melebihi AS$10,000 (kira-kira RM42,000), didorong pelaksanaan sistem harga dinamik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kehadiran Sheinbaum dan Carney ke final itu turut mendapat perhatian kerana berlangsung ketika Mexico dan Kanada sedang berunding dengan AS berhubung masa depan perjanjian perdagangan tiga hala Amerika Utara.
Hubungan Sheinbaum dengan Trump disifatkan baik meskipun kadangkala tegang, manakala hubungan antara Trump dan Carney pula sering diwarnai pertikaman lidah serta ancaman tarif perdagangan.
Malah, wakil perdagangan AS dan Mexico dijadual mengadakan pusingan ketiga rundingan di Mexico City pada Selasa ini bagi membincangkan penstrukturan semula perjanjian perdagangan yang merangkumi sektor keluli, automotif, pertanian dan sistem pembayaran elektronik.
© New Straits Times Press (M) Bhd






