Shevon-Soon Huat temui rentak semula

Shevon-Soon Huat temui rentak semula


PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai percaya mereka sudah kembali ke prestasi sebenar biarpun tersingkir di suku akhir Terbuka Singapura, semalam.

Pasangan suami isteri yang berad di ranking kelima dunia itu tunduk kepada musuh tradisi dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam pertarungan sengit 21-19, 20-22, 17-21.

Soon Huat-Shevon sering meloloskan diri sehingga ke suku akhir dalam apa jua kejohanan sejak awal musim ini, namun tewas mengejut pada aksi pusingan pertama Malaysia Masters, minggu lalu.

Menurut Shevon, prestasi mereka semakin mantap selepas kemerosotan minggu lalu dan petanda jelas bahawa mereka kembali ke landasan yang tepat.

“Kami mula dapat semula kestabilan permainan seperti awal musim dan akan terus tambah variasi strategi untuk lebih bersedia.

“Kejohanan minggu ini memang sengit tetapi kami puas hati dengan peningkatan prestasi secara keseluruhan,” kata Shevon.

Dalam pada itu, Soon Huat pula menjelaskan kecederaan memberi kesan terutama pada set penentuan, tetapi tetap berpuas hati dengan komitmen mereka di gelanggang.

Soon Huat mengalami kecederaan pada kakinya sebelum Malaysia Masters, sekali gus menjadi punca utama mereka tewas kepada beregu Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch pada pusingan awal.

“Kami tahu selepas kalah set kedua ia jadi sukar kerana saya masih dalam pemulihan kecederaan, tapi kami tetap lawan habis-habisan dan beri segalanya,” kata Soon Huat

Selepas ini, mereka akan berdepan satu lagi ujian getir di Terbuka Indonesia minggu depan menentang gandingan Thailand, Phuwanat Hornbanluekit-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.-UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top