aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masalah kesihatan selepas Shevon Lai mengalami keracunan makanan tidak mematahkan semangat pasangan beregu campuran berpengalaman negara, Goh Soon Huat bersama pasangannya itu, untuk bangkit menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini.
Pasangan suami isteri itu berdepan cabaran yang mencabar sebelum menewaskan beregu Taiwan, Wu Guan Xun–Lee Chia Hsin, menerusi pertarungan tiga set 15-21, 21-19, 21-14 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlarutan 56 minit.
Soon Huat mengakui mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, khususnya apabila berdepan pasangan baharu yang sukar dibaca corak permainan.
“Perlawanan memang sengit. Dari set pertama kami masih mencari momentum kerana mereka pasangan baharu.
“Agak lambat membaca pukulan lawan, namun kami cuba ubah strategi walaupun kalah set pertama,” katanya.
Cabaran bertambah apabila Shevon beraksi dalam keadaan tidak cergas akibat masalah kesihatan sejak semalam.
“Dia mengalami keracunan makanan dan muntah sejak tengah malam. Perlawanan ini benar-benar menguji kekuatan mental kami,” kata Soon Huat.
Situasi itu menyaksikan Soon Huat memikul peranan lebih besar di gelanggang selain memastikan keadaan isterinya terjaga sepanjang malam, sekali gus menjejaskan waktu rehat mereka selain dia turut mengalami selesema.
“Saya jaga dia sepanjang malam, jadi memang kurang tidur. Kami berdua letih, tetapi sudah bersedia untuk bermain dan fokus sampai ke penghujung,” katanya.
Menurutnya, ketahanan mental, komunikasi serta pendekatan taktikal yang lebih kemas menjadi kunci kemenangan dalam set penentuan.
Di pusingan kedua, pasangan negara bakal bertemu wakil Amerika Syarikat, Presley Smith–Jennie Gai, yang menewaskan pasangan India, Dhruv Kapila–Tanisha Crasto, 15-21, 21-18, 15-21.
“Berdepan wakil AS, kami agak yakin kerana pernah bertemu sebelum ini. Apa pun, kami ambil satu perlawanan pada satu masa,” katanya.
Rekod pertemuan memihak kepada pasangan negara dengan kelebihan 1-0, termasuk kemenangan straight set ke atas lawan sama pada pusingan pertama Terbuka Malaysia tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






