mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyampai radio, Sharifah Shahirah, 51, mendedahkan kemungkinan anaknya, Airra Zulkifli, 18, yang mendapat satu A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini akan berdepan kemurungan.
Shahirah yang mesra disapa Shiera berkata, dia pasti anak perempuannya akan murung tetapi dia akan cuba mengambil pendekatan memujuk.
“Saya kata kepada dia, kau jangan kira kau punya murung, aku punya lagi murung sebenarnya. Kau jangan nak murung, nak berdrama, kita ‘let it be’. Saya cakap dengan dia, kita sebagai manusia tak boleh nak murung.
“Kita harus bergerak. Kau punya murung hanya buang masa, aku punya murung pun buang masa juga. Kita jangan drama. Saya tak suka drama, kita jalan.
“Kalau apa netizen nak kata, saya nak malukan anak saya ke, pergi matilah. Tak kisah pun sebab kita ada agenda masing-masing,” katanya yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka Sinar FM di Hotel Tamu Kampung Baru, di sini.
Terdahulu, Shiera yang kini bergelar penyampai radio Sinar FM mendapat perhatian ramai apabila
berkongsi keputusan SPM anaknya menerusi hantaran di TikTok Sinar FM.
Shiera berkata, jika hari ini hari murung, dia cuba memperbaiki dengan hari yang lain untuk mereka.
“Saya cakap dengan dia, jangan dengar cakap orang untuk murungkan kau, nak malukan kau. Ia bukan satu benda untuk dimalukan. Maksudnya tiada masa untuk itu.
“Memang orang akan cakap kasihan, malukan anak, tak bagus. Saya dah biasa orang cakap saya bodoh, artis tiada ilmu, jadi kita buktikan pada orang di mana kita tiada ilmu pun kita boleh berjaya.
“Ada cara lain iaitu adab. Kadang-kadang kalau terlalu bijak pun dan terlalu banyak pendapat dan rungutan dalam hidup, kau nak jadi apa, doktor? Kamu banyak sangat rungutan dan semua kerja susah. Saya tiada masa untuk itu,” katanya.
Shiera berkata, dia sentiasa menyokong anaknya dalam apa juga keadaan.
“Saya dikelilingi oleh orang-orang yang terpelajar, anak belajar di luar negara. Mereka selalu kata takut, berdebar anak nak SPM.
“Mereka betul dalam perkara ini dan tiada rungutan dalam hal itu. Saya faham kerana mereka mengharapkan 9A.
“Saya dah tahu kemampuan anak saya. Tak apa, tapi kalau dia kecewa sangat saya kata tak apa sabar.
“Kita ada lagi ada master, ada degree dan ada diploma. Dapatkan markah yang bagus. Kita tengok ada yang berusia pun ambil SPM lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd