Penyanyi, Shila Amzah mengakui pengalaman bergelar bintang cilik sejak usia muda memberi kesan besar terhadap perkembangan mental dan fizikal seseorang individu, terutamanya apabila membesar dalam perhatian umum.
Menurut Shila, kanak-kanak yang terlalu awal terdedah kepada dunia hiburan berisiko kehilangan peluang untuk melalui fasa tumbesaran secara normal seperti rakan sebaya lain.
“Sejujurnya, bila seseorang bermula terlalu muda sebagai bintang cilik, apatah lagi di mata umum, mereka sebenarnya kehilangan keupayaan dan peluang untuk membesar secara normal.
“Ia memberi kesan besar dari segi mental dan fizikal. Saya sendiri pernah berjumpa doktor kerana perkara ini. Apa yang saya cuba sampaikan, dengan sokongan yang betul, peralihan itu sebenarnya boleh dilalui dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, Shila menjelaskan cabaran akan menjadi lebih sukar sekiranya sokongan yang diberikan hanya tertumpu kepada aspek kerjaya semata-mata tanpa mengambil kira keperluan emosi dan perkembangan psikologi kanak-kanak terbabit.
“Jika sokongan lebih menjurus kepada kerjaya sahaja, ketika itu peralihan akan menjadi sangat sukar untuk bintang cilik.
“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Ada masanya, pada usia 18 atau 19 tahun, bintang cilik ini merasakan diri mereka lebih matang berbanding rakan sebaya,” ujarnya.
Shila berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert 25 Tahun Shila Amzah di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Rabu.
Tambah pelantun lagu Memori Tercipta itu, kehilangan pengalaman zaman kanak-kanak turut boleh memberi gangguan mental yang berpanjangan dan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat.
“Apabila zaman kanak-kanak diambil pada peringkat tertentu, perkara itu boleh mengganggu mental. Ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sehari.
“Secara jujurnya, saya tidak mengesyorkan kanak-kanak bermula terlalu awal kerana perkembangan otak, khususnya bahagian frontal lobe, masih belum matang sepenuhnya.
“Mereka belum mampu membezakan apa yang betul atau salah dan akan menganggap apa sahaja yang disusun untuk mereka sebagai perkara terbaik,” katanya.






