Penyanyi popular, Shila Amzah berazam untuk memulakan tabiat gaya hidup sederhana dan bebas daripada hutang.
Menerusi perkongsian di Threads, Shila berazam untuk menyelesaikan komitmen hutang kereta dan tempat tinggal secepat mungkin selain mahu mengurangkan kapasiti barangan yang dimilikinya sekiranya jarang digunakan.
“Saya benar-benar mahu bebas hutang (mahu habiskan bayar rumah dan kereta). Selepas itu mahu mengemas serta menyingkirkan barang-barang yang sudah tidak digunakan.
“Sebelum ini saya selalu juga buat begitu. Kalau dalam tempoh dua hingga tiga bulan saya tidak gunakan sesuatu barang, itu bermakna saya memang tidak memerlukannya langsung,” katanya di Threads.

Mengakui kerap membuat langganan tanpa dirancang, penyanyi lagu Patah Seribu itu nekad mahu menghentikan tabiat membeli-belah secara tidak terkawal.
“Banyak juga langganan yang sebenarnya tiada hala tuju. Saya betul-betul mahu berhenti membeli barang yang tidak perlu.
“Hidup tanpa merasa pegang duit sendiri sebelum ini membuatkan saya menjadi seorang pembeli yang agak tidak terkawal apabila dewasa.
“Saya tidak bangga dengan perkara itu, tetapi saya akan ambil langkah besar untuk menjadi lebih baik,” kongsinya.





