Penyanyi, Shila Amzah menitipkan pesanan kepada semua pasangan yang baru bergelar ibu bapa agar berlembut dengan diri sendiri dalam menyesuaikan diri dengan fasa baharu kehidupan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Shila atau nama sebenarnya NurShahila binti Amir Amzah, 34, berkata menjadi ibu bapa buat kali pertama bukan perkara mudah kerana segalanya perlu dipelajari dari awal, sambil berdepan keletihan dan perubahan emosi yang besar.
“Being first time parents is hard no matter what anyone says. You’re learning everything from scratch while running on little sleep and big emotions.
“Kadang-kadang, saat yang tenang itu yang paling sukar bila rasa gembira yang diharapkan tak selalu sama dengan apa yang dirasai,” tulisnya.
Menurut Shila, pasangan yang baru mempunyai anak tidak seharusnya terlalu menekan diri apabila berdepan cabaran dalam tempoh penyesuaian itu.
“To every new mum and dad, please be kind to yourselves. You’re not failing, you’re adjusting. It’s okay to admit that love and overwhelm can exist in the same breath. You’re doing better than you think,” katanya.
Pelantun lagu Patah Seribu itu turut berkongsi pengalaman peribadi apabila berdepan fasa ‘baby blues’ selepas melahirkan anak keduanya, Rhea, yang memberi kesan besar terhadap emosinya.
Shila berkata, ketika tempoh berpantang, dia dan suaminya, Ubai MZ, berdepan detik mencabar apabila anak mereka mengalami jaundis, manakala dirinya pula berjuang dengan tekanan emosi selepas bersalin.
“Saya berhenti menyusu sebab Ubai cakap saya punya ‘baby blues’ were so bad, I cried almost everyday. Kami berdua macam mayat hidup masa pantang,” kongsinya.
Namun, di sebalik kepayahan itu, Shila berkata kasih terhadap anak-anak menjadi sumber kekuatannya untuk terus bertahan.
“Changes of sizes, hormones. But I will go through it all again for Seth and Rhea. Of course papa (Ubai MZ) is included,” katanya sambil berseloroh.
Menutup perkongsiannya, Shila menyeru semua pasangan yang baru menimang cahaya mata agar saling menyokong dan memahami antara satu sama lain, kerana setiap pengalaman membesarkan anak adalah proses yang berbeza bagi setiap keluarga.
“To all moms and dads, you are not alone. Let’s be kind to each other, shall we,” ujarnya.

Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh dan pencipta kandungan, Ubai MZ pada 5 Ogos 2023.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea, manakala anak lelakinya, Seth, adalah hasil perkahwinan terdahulu bersama Haris Idraki Elias, yang berakhir pada 2022.






