Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu meluahkan rasa syukur apabila dia dan anak perempuannya, Thalita raih tempat kedua pada malam kemuncak Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) semalam.
Bersyukur raih tempat kedua, bukan juara
Memetik laporan daripada Kosmo! Shuib menyatakan dia berasa lega kerana raih tempat kedua dan tidak muncul sebagai juara berikutan bimbang dikecam oleh netizen.
“Saya bersyukur dan gembira kami dapat tempat kedua, kalau jadi juara mesti kena kecam,” katanya.
Bersyukur raih tempat kedua, seminggu anak beranak dikecam ribuan komen
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, mengakui sudah seminggu menahan diri daripada membaca komen negatif yang menuduh wujudnya ‘favoritism’ dalam rancangan tersebut serta mendakwa episod tambahan diwujudkan kerana Thalita.
“Seminggu saya tahan. Orang cakap ada ‘favoritism’ dalam TTMM dan menyasarkan anak saya Thalita kononnya Grand Finale diwujudkan sebab dia.
“Bila kami dinobatkan sebagai naib juara, saya rasa gembira dan lega. Bayangkan kalau kami jadi juara, mesti mereka akan cakap memang sudah dirancang,” jelasnya.
Thalita betul-betul ‘down’
Tambahnya, Thalita turut mengalami tekanan emosi selepas menerima lebih 10,000 komen kecaman di media sosial hingga dia terpaksa memantau anaknya itu agar tidak membaca komen negatif.
“Dia betul-betul ‘down’. Saya kena pantau supaya dia tak baca komen.
“Dia pula tengah bergelut dengan masalah kesihatan. Ada orang mesej saya dalam Instagram suruh kami tarik diri.
“Saya dan Thalita sama-sama ‘down’. Saya sampai berdoa kepada Allah supaya tak menang. Sebab kalau menang, pasti kena kecam,” ujarnya.
Thalita berhak nyanyi lagu ibunya
Mengulas tuduhan netizen kononnya mereka ‘menunggang’ kisah arwah Siti Sarah untuk meraih simpati, Shuib menegaskan bahawa Thalita berhak menyanyikan lagu ibunya sendiri.
“Orang cakap sudah-sudahlah menyanyi lagu mak sebab nak meraih simpati. Dia menyanyi lagu mak dia bukan dia menyanyi lagu mak kau. Dia ada hak untuk menyanyi lagu mak dia.
“Saya rasa lagu mak dia sesuai untuk dinyanyikan dalam mana-mana episod TTMM. Jadi apa salahnya?” katanya.
Artikel lain: Dalam kehidupan, ada hal luar dugaan dan tak masuk akal – Siti Nurhaliza
Sebelum ini, Shuib dan Thalita pernah dikecam apabila dikatakan menjadi peserta ‘kegemaran’ produksi selepas program menambah episod khas bagi memberi peluang kepada Thalita yang sebelum ini tidak dapat membuat persembahan kerana dijangkiti Influenza A dan perlu menjalani kuarantin.
Sumber: Kosmo! (Helmi Anuar)