Si hawa waspada ancaman moden!

Si hawa waspada ancaman moden!


surayaroslan@mediaprima.com.my

KESELAMATAN wanita hari ini tidak lagi berkisar kepada kerisauan berjalan seorang diri di waktu malam.

Ancaman moden semakin canggih seperti pemandu e-hailing yang mencurigakan, ‘match’ dalam aplikasi ‘dating’ yang tak seperti yang disangka, sindiket ‘love scam’, perisian pengintip dalam telefon, hinggalah gangguan seksual yang berlaku hanya dengan satu klik ‘DM’ (Direct Messages).

Dalam dunia yang serba mencabar ini, wanita terpaksa menambah lapisan keselamatan supaya tidak dijadikan sasaran mudah.

Ancaman terhadap wanita berubah mengikut teknologi dan jika dulu, risiko fizikal, sekarang risiko fizikal dan digital.

Penjenayah tidak perlu dekat. Mereka hanya perlukan nombor telefon, lokasi atau profil media sosial.

Berikut antara isu dan tip praktikal yang boleh membantu menyelamatkan nyawa dan maruah wanita yang boleh dijadikan panduan hidup.

1. Keselamatan e-hailing: ‘Naik kereta pun kena waspada’

Kes e-hailing bukan baharu dengan ada segelintir pemandu ambil kesempatan.

Malah, ada yang rakam penumpang secara senyap selain sengaja bawa ke laluan gelap.

Bukan semua, tapi cukup seorang untuk memudaratkan.

Apa yang wanita boleh buat:

– Sahkan nombor pendaftaran kenderaan dan wajah pemandu, jangan masuk kereta dulu baru periksa.

– Kongsi perjalanan (share ride status) dengan keluarga.

– Duduk di belakang, di sisi bertentangan pemandu. Zon paling selamat.

– Jangan dedahkan maklumat peribadi. Apabila hampir tiba, jangan beritahu ‘rumah saya’ sebaliknya sebut ‘drop dekat guard’, ‘drop dekat blok’.

– Jika rasa tak selamat, hentikan perjalanan di lokasi ramai orang.

2. Aplikasi dating: Ruang cinta atau perangkap?

Aplikasi dating menjadi antara ruang paling digemari ‘scammer’, pemangsa seksual dan individu yang menyamar.

Ramai wanita tampil berkongsi pengalaman ‘date’ yang berubah menjadi paksaan, ugutan atau manipulasi emosi.

Tip praktikal sebelum jumpa orang yang baru dikenali:

– Panggilan video terlebih dulu, pastikan wajah dan suara betul.

– Jumpa di tempat awam, bukan dalam kereta dan rumah mereka.

– Jangan dedah lokasi rumah atau tempat kerja.

– Jangan hantar gambar sensitif, walaupun selepas rapat, ramai yang kemudian diugut.

– Tinggalkan maklumat kepada rakan seperti nama, nombor, lokasi dan masa pertemuan.

3. Scam: Penjenayah moden, skrip mereka sempurna

Wanita kini antara sasaran utama ‘scammer’ seperti ‘love scam’, ‘parcel scam’, ‘loan scam’, polis palsu dan tekanan psikologi melalui aplikasi WhatsApp.

Modus operandi mereka mudah: buat wanita rasa bersalah, takut atau kasihan.

Cara elak:

– Tiada pihak berkuasa akan minta nombor keselamatan sementara (OTP).

– Jika panggilan mencurigakan, letak. Hubungi semula ‘hotline’ rasmi.

– Jangan melakukan transaksi perbankan atas alasan ‘kes mahkamah’, ‘akaun disiasat’ atau ‘parcel ditahan’.

– Semak nombor di portal rasmi Polis Diraja Malaysia.

4. Gangguan seksual digital: DM kotor, ugutan gambar, penghendap atas talian

Wanita semakin banyak terdedah kepada gangguan seksual digital di Instagram, TikTok, X dan aplikasi mesej.

Ada yang menerima gambar tidak senonoh tanpa diminta. Ada yang diugut menyebarkan gambar lama. Ada yang dibuli dengan akaun palsu.

Langkah pertahanan digital:

– Off ‘location tagging’ dalam semua ‘apps’.

– ‘Private’kan profil bila perlu.

– Sekat tanpa rasa bersalah.

– Jangan simpan gambar sensitif dalam telefon. Gunakan storan ‘offline’.

– Buat laporan akaun yang mengganggu. Platform kini lebih agresif melindungi pengguna.

Kalau ada ugutan seksual, lapor kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC). Ini jenayah, bukan memalukan diri.

5. Ruang ‘offline’ pun tetap bahaya: ‘Stalking’ dan manipulasi sosial

Ancaman bukan sekadar daripada orang asing. Ramai wanita dibuli, dikawal atau diganggu rakan sekerja, bekas pasangan atau kenalan rapat.

Tanda-tanda anda sedang berada dalam bahaya:

– Dia tahu pergerakan anda tanpa anda beritahu.

– Dia sentiasa monitor siapa anda jumpa.

– Dia ugut guna maklumat peribadi.

– Dia sentiasa cuba buat anda rasa bersalah.

Semua ini bukan ‘caring’. Itu ‘red flag’ keselamatan.

Kesimpulan

Dunia moden penuh peluang, tapi juga penuh perangkap. Wanita berhak hidup bebas, bergerak tanpa rasa takut, menikmati teknologi tanpa risiko.

Tetapi, realitinya keselamatan hari ini menuntut kita lebih peka, lebih berlapis dan lebih berani berkata ‘TIDAK’ kepada situasi meragukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top