BUKIT MERTAJAM : Sebuah pusat karaoke yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) di sini diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi itu, seramai 12 wanita warga asing yang berusia antara 25 hingga 30 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, ada di antara mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah pada waktu siang, namun, berkhidmat sebagai GRO pada sebelah malam.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, daripada 12 wanita warga asing yang ditahan, tujuh daripada mereka adalah warga Thailand, tiga warga Indonesia dan dua lagi dari Vietnam.
“Semasa serbuan dijalankan, kesemua GRO ini sedang leka melayan pelanggan dan kita bertindak mengepung laluan utama termasuk pintu belakang bagi mengelakkan mereka daripada melarikan diri.
“Selain memiliki kerja tetap seperti pembantu rumah dan pekerja kilang, mereka yang ditahan ini disyaki telah melanggar syarat pas lawatan kerja serta tinggal lebih masa tanpa dokumen yang sah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Basri memberitahu, kesemua wanita itu dipercayai mula berkhidmat di premis berkenaan kira-kira enam bulan lalu dengan mengenakan caj perkhidmatan antara RM150 hingga RM250 sejam.
“Mereka yang ditahan kini dihantar ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi buat sementara waktu.
“Siasatan akan dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya yang memaklumkan, operasi tersebut secara keseluruhannya melibatkan 33 anggota dari ibu pejabat Imigresen serta JIM Perak dan Pulau Pinang.-UTUSAN